PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan pertukaran pegawai kanan serta kenaikan pangkat berkuat kuasa pada 13 Mei ini.
Setiausaha PDRM, Deputi Komisioner Alzafny Ahmad berkata, pertukaran itu melibatkan Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Gerakan) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Hamzah Ahmad.
Menurut Alzafny, Hamzah akan menjawat jawatan sebagai Ketua Polis Pulau Pinang yang baharu.
“Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Urus Setia Pejabat Ketua Polis Negara (KPN), Bukit Aman, Datuk Muhammed Hasbullah Ali pula dinaikkan pangkat sebagai Komisioner Polis (CP).
“Sementara itu, Penolong Pengarah E6, Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Dr. Lim Joo Soon akan bertukar jawatan sebagai Timbalan Pengarah (Jenayah Siber) Jabatan Komersil, Bukit Aman dengan memangku pangkat Deputi Komisioner Polis (DCP),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.-UTUSAN