PHANG NGA, THAILAND: Tiga orang asnaf terpilih bagi menerima sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Peduli Khas di Phang Nga, Thailand.
Penyerahan sumbangan bersempena Program Ziarah Mahabbah 2024 itu disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Menerusi penyerahan itu, baginda berdua berkenan melawat ke rumah salah seorang daripada tiga asnaf terlibat dari kariah Masjid Banyai, Phang Nga.
Salah seorang penerima, Han Bobthong, 84, yang sakit terlantar ditemani isterinya bagi menyambut menyambut ketibaan baginda berdua ke rumah mereka.
Malah, terdapat dua lagi penerima iaitu Ronoa Thongchai, 99,dan Mainoi Prahyatsap, 104, turut menerima sumbangan berkenaan dengan ditemani isteri masing-masing.
Setiap asnaf terlibat menerima sumbangan wang tunai berjumlah 5,300 Bath (RM683) bersama Kit MAIPs Peduli.
Dalam majlis sama, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen juga berkenan menyampaikan sumbangan RM200 kepada 50 kanak-kanak terpilih.
Setiap penerima terlibat juga adalah merupakan dari kariah Masjid Banyai, di sini.-UTUSAN