PETALING JAYA: Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) menerima sebanyak 174 permohonan Lesen Perubahan Sementara (LPS) bagi perkhidmatan bas ekspres kelas ekonomi sejak ia dibuka pada 11 Mac lalu.
Agensi itu dalam satu kenyataan memaklumkan, permohonan LPS itu adalah sebagai inisiatif membantu industri bas ekspres dalam memastikan jumlah bas mencukupi sepanjang tempoh sambutan Hari Raya Aidilfitri, minggu depan.
Katanya, jumlah permohonan dijangka meningkat sebelum tarikh tutup esok.
“APAD berharap lebih ramai pengendali bas ekspres membuat permohonan LPS seterusnya memberi perkhidmatan yang berkualiti, selamat dan efisien kepada pengguna.
“Pengendali diingatkan mengenakan kadar tambang munasabah dan tidak sewenang-wenangnya menaikkan tambang selain jadual tambang yang ditetapkan berdasarkan kategori ekonomi atau kategori eksekutif,” katanya.
Menurut kenyataan itu, APAD tidak berkompromi dengan mana-mana pengendali yang mengenai caj tambang tambahan tidak munasabah dan membebankan pengguna.
“APAD dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sentiasa bekerjasama dalam memastikan tiada pengusaha bas ekspres yang mengenakan kadar tambang sewenang-wenangnya,” katanya.
Dalam pada itu, agensi tersebut menasihatkan pengguna mengambil beberapa langkah bagi memastikan kelancaran perjalanan semua perkhidmatan bas ekspres.
“Pengguna dinasihatkan membuat perancangan perjalanan dan tidak membuat pembelian tiket pada saat akhir selain membuat pembelian tiket melalui saluran yang sah. Sila rujuk maklumat terkini mengenai jualan tiket melalui portal terminal.
“Selain itu, kenal pasti jenis perkhidmatan bas ekspres sama ada kelas ekonomi atau kelas eksekutif. Kedua-dua jenis perkhidmatan ini mempunyai perbezaan dari segi jenis perkhidmatan dan kadar tambang,” katanya.- UTUSAN