Tiada keperluan berehat panjang - Dayang Nurfaizah - Utusan Malaysia

Tiada keperluan berehat panjang – Dayang Nurfaizah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DAYANG Nurfaizah antara penyanyi yang bijak mencaturi kerjayanya, membuatkannya diangkat sebagai antara sebilangan kecil penyanyi yang bertahan dan mencapai pelbagai kejayaan dengan sekadar menjadi penyanyi sahaja.

Seperti penyanyi lain, empunya nama sebenar Dayang Nurfaizah Awang Dowty ini juga mempunyai peminat tersendiri yang bukan sahaja tanpa gagal mengikuti perkembangan kerjaya seninya, malah prihatin dan menyayanginya.

Masyarakat melihat bagaimana anak kelahiran bumi kenyalang ini yang hampir tiga dekad menghambakan diri dalam dunia seni tanah air bekerja keras dalam mengembangkan kerjayanya ke tahap yang lebih baik saban tahun.

Sehinggalah, baru-baru ini, Dayang menampakkan dirinya seakan-akan berdepan kesukaran ketika membuat persembahan khas sempena penganjuran Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38).

Keadaan itu mencetuskan rasa bimbang dan pelbagai tanda tanya dalam kalangan peminatnya, sehingga ada yang membuat spekulasi, mengaitkan Dayang dengan kelelahan melampau mungkin disebabkan sikapnya yang terlalu kuat bekerja.

Dayang, sebelum ini tampil menjawab isu tersebut. Katanya, apa yang berlaku hanyalah masalah biasa yang dihadap setiap manusia yang bukan setiap masa dikurniakan hari-hari yang sempurna.

Justeru, Dayang dengan rendah diri meminta peminat atau mereka yang mengikuti perkembangannya tidak mewujudkan persepsi yang bukan-bukan, cukup sekadar menyokong dan mendoakan agar dia kekal sihat dan terus dapat menghiburkan.

“Saya berterima kasih kepada peminat. saya tahu mereka risaukan keadaan saya. Cuma satu yang saya nak katakan, kalau peminat pun risau, apatah lagi tuan punya badannya.

“Setiap penyanyi akan melalui fasa tertentu, begitu juga dengan saya. Ada hari, nyanyian saya okey, ada hari, ia tak menjadi. Apa yang peminat nampak hanyalah ibarat bad hair day untuk saya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dayang, dalam menjelaskan perkara itu menolak tanggapan yang dia memaksa dirinya untuk bekerja terlalu kuat sehingga menjejaskan kesihatannya. Katanya kerjaya dan kehidupannya buat masa ini seimbang dalam terkawal.

“Kuantiti kerja saya normal, tidaklah sampai tak ada masa untuk berehat dan sebagainya.

“Mungkin peminat menyangka saya terlalu kerap membuat persembahan disebabkan video-video yang saya muat naik di media sosial. Walhal antara video tersebut, ada juga yang lama, yang baru saya kongsikan.

“Hakikatnya saya amalkan work life balance. Tetap ada peruntukan masa untuk berehat. Tetapi itu hal peribadi yang saya tidak kongsi kepada umum. Mungkin peminat tak nampak saya jaga diri sendiri, kesihatan, vokal dan mental saya sebab saya tak tunjukkan bahagian itu kepada mereka,” jelasnya.

Bukan mencari alasan, sebaliknya solusi

DAYANG sedar, sebagai penyanyi dia harus menjaga kesihatan termasuklah suaranya kerana bidang pekerjaan yang dipilihnya sejak beberapa dekad lalu menuntut perkara itu.

“Saya juga manusia biasa, tetap berdepan good and bad days walaupun sudah menyanyi agak lama.

“Tapi saya tak suka cari alasan, sebaliknya lebih memilih untuk mendapatkan solusi bagi setiap masalah yang saya hadapi.

“Setiap penyanyi yang profesional memang perlu menjaga suara kerana dengan bakat nyanyian yang dikurniakan inilah kami mencari rezeki. Kalau berlaku masalah kepada suara, saya akan jumpa dan meminta nasihat doktor pakar,” katanya.

Ada juga pihak yang menasihatkan Dayang mengambil langkah beberapa penyanyi seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Misha Omar yang pada satu fasa sebelum ini mengambil tempoh bertenang untuk mendapatkan semula kekuatan selepas bertahun-tahun bekerja keras membina nama.

“Kalau perlu, saya akan lakukan. Ianya pun demi kebaikan vokal dan kerjaya untuk jangka masa yang lebih panjang.

“Tetapi itulah, buat masa ini tiada keperluan untuk berehat panjang. Keadaan saya masih okey dan terkawal.

“Saya tidaklah bekerja terlalu kuat, sehingga kesihatan saya terjejas. Dalam sebulan tak adalah 10 persembahan saya jayakan. Semuanya cukup-cukup sahaja. Jadi apa yang saya ada sekarang ini saya teruskan dan saya menghargai semua kurniaan Tuhan kepada saya,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya