KUALA LUMPUR : Sebanyak 50 tan beras telah disumbangkan oleh Syarikat penjagaan kulit, The Raw, kepada 10,000 golongan memerlukan terutama wanita dan ibu tunggal menerusi Inisiatif Sentuhan Kasih The Raw di beberapa lokasi di Lembah Klang.
Sumbangan itu turut diberikan kepada golongan ibu tunggal, asnaf, B40 dan anak yatim.
Inisiatif itu diadakan bersama Pertubuhan Kebajikan RichWorks (RichWell) dan Enrichment Media Lab Sdn Bhd dengan kerjasama Persatuan Gerak Wanita Islam Malaysia (GERAKWANIS).
Turut serta, Yayasan Prihatin menjayakan penyerahan infak yang diadakan di D’Sultanaa disini pagi ini.
Pegawai Perhubungan awam, The Raw International Sdn Bhd, Nor Amira Amizan berkata, tujuan utama sumbangan beras itu adalah untuk meringankan beban golongan yang memerlukan dalam meraikan Syawal tidak lama lagi.
“Untuk hari ini, sebanyak 3000 kampit beras diserahkan kepada golongan sasaran bagi melengkapkan misi bantuan 10,000 kampit beras.
“Ini merupakan program khidmat sosial pertama syarikat kami dan dilakukan secara besar-besaran InsyaAllah akan diperluaskan ke kawasan lain tahun hadapan” katanya.
Katanya lagi, pihaknya sedar dengan pelbagai cabaran termasuk kenaikan kos sara hidup membuatkan ramai orang yang berada dalam keadaan kesusahan ketika ini.
“Jadi kami bersama beberapa organisasi lain tampil membantu mereka yang memerlukan dan diharap usaha ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban,” tambahnya.
Beliau berkata demikian selepas majlis Inisiatif Sentuhan Kasih The Raw yang diadakan di D’Sultanaa, Kuala Lumpur.
Terdahulu, sumbangan beras juga telah diagihkan secara berperingkat kepada Perumahan Awam Desa Rejang, 4 buah masjid dan surau terpilih di sekitar Selangor, serta penduduk di sekitar Bandar Tun Razak, Cheras.
Katanya, sebelum ini sejak tahun 2019 syarikat itu sudah berinfak secara kecil-kecilan kepada anak-anak yatim dan golongan yang memerlukan.
“Bagaimanapun melihatkan sambutan yang menggalakkan ini, kami berasa terpanggil lagi untuk meneruskannya jika mempunyai rezeki lebih,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi GERAKWANIS, Bibi Sunita Sakandar Khan, berkata pihaknya berbesar hati bekerjasama dengan The Raw sejak tahun 2000 lagi.
Katanya, pemilihan dan data para asnaf melalui golongan sasar dari PPR yang tersenarai.
“Saya berharap kerjasama ini tidak berhenti di sini sahaja dan akan berterusan dalam usaha membantu golongan yang memerlukan terutama wanita dan ibu tunggal,” katanya.
Katanya, perumahan di kawasan itu mempunyai lebih 15,000 penduduk dan kebanyakan adalah golongan B40.
Turut hadir dalam program itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Prihatin Nasional, Datuk Aizuddin Ghazali dan Hafiz Jasmi, wakil Pertubuhan Kebajikan Richwell.
Amira turut berkongsi, The Raw merupakan sebuah syarikat bertaraf antarabangsa dalam industri kecantikkan, diasaskan oleh Puan Adibah Mazlan, bekas ahli farmasi yang pernah berkhidmat di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Berpengalaman luas dalam bidang farmasuetikal, Adibah Mazlan amat menitikberatkan kepentingan penggunaan bahan yang selamat tanpa merkuri bagi memastikan pengguna mendapat kulit yang cantik dan sihat.
Produk The Raw kini boleh didapati di lebih 500 cawangan Guardian dan 60 Aeon Wellness seluruh negara