Terbuai bersama alunan Misha Omar dalam Masihkah Ada Rasa Itu? - Utusan Malaysia

Terbuai bersama alunan Misha Omar dalam Masihkah Ada Rasa Itu?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bermula lagu Bunga-Bunga Cinta (2002) di bawah didikan maestro muzik Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan, kemudian bekerjasama dengan beberapa komposer terkemuka, portfolio Misha Omar sebagai penyanyi kebangsaan saya kira amat cemerlang.

Apatah lagi dengan empat album berjudul Misha (2002), Aksara (2004), Misha Omar (2008) dan album kompilasi Dia…Misha (2011), di tahap ini, tiada apa lagi yang Misha harus kejar sebenarnya.

Walaupun gagal dinobat sebagai pemenang Bintang RTM 2001 yang bersaing dengan Azharina Azhar dan Allahyarhamah Siti Sarah Raisuddin ketika itu, namun, Misha antara yang cukup bertuah kerana pendengar menerima karyanya menerusi rangkaian lagu-lagu popular seperti Halaman Cinta, Pulangkan, Dedebu Cinta, Tiada Ruang Untukmu, Ku Seru dan Nafas Cahaya.

Suara gemersik dan syahdu dimiliki pemenang Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu ke-33 (AJL33) ini menjadikan Misha sebagai antara jenama terbesar yang berjaya mencipta alur muzik pop dengan cara tersendiri.

Misha mengambil masa terlalu lama iaitu empat tahun untuk tampil dengan single baharu selepas hits Sampai Bila (2018) dan Tanpa Rela (2020). Namun, saya optimis apa jua alasan dia memperlahan gerak kerjanya dalam menghasilkan naskhah baharu untuk pendengar-pendengarnya.

Syukurlah, penantian itu berakhir apabila Misha merakamkan single berjudul Masihkah Ada Rasa Itu?, menyaksikan beliau sekali lagi bekerjasama dengan Sharon Paul. Persoalannya, apakah matlamat muziknya kali ini? Apakah ini memberi petanda yang Misha kembali aktif atau sebaliknya?

Masihkah Ada Rasa Itu? dihasilkan atas jalur melodi yang sederhana serta tidak terlalu berat, namun, cukup menangkap dan melarut emosi dengan sekali pendengaran. Ia tidak terlalu menuntut nada-nada tinggi yang seolah-olah menjadi satu kemestian dalam lagu Melayu moden.

Cuma, ada bahagian tertentu menyaksikan Sharon seolah-olah sukar keluar daripada zon selesanya, sehingga bunyi dihasilkan mengingatkan saya akan beberapa karyanya dinyanyikan penyanyi lain seperti Dia Penggantimu (Nadeera), Mencintaimu (Fauziah Latiff) dan Pernah Bahagia (Sharifah Zarina).

Lebih menarik perhatian ialah di minit 2.28 di bait lirik “mungkinkah dikau bahagia”, yang mana Sharon menggarap formula sama seperti Romansa Kita (Datuk Seri Siti Nurhaliza) dan

Sumpah Cinta Ini (Muna Shahirah) yang mengambil ilham trend ‘Jemimah Challenge’ menerusi lagu asal kumpulan Ungu dari Indonesia, Cinta Dalam Hati.

Pun begitu, saya sejujurnya suka dengan format seperti ini. Ia memberi momentum dalam graf muzik ciptaan Sharon yang tidak kedengaran terlalu layu dan perlahan.

Muzik pop yang dicipta Sharon pula saya kira sudah berevolusi berbanding satu atau dua dekad lalu, dalam lagu-lagunya seperti Kini Detiknya (Velvet Aduk), Cinta Beralah (Ramlah Ram), Ku Ingin Mu (Jaclyn Victor) dan Usah Kau Berpaling (Farah Diana).

Cuma ada satu gubahan melodi yang saya harap Sharon boleh hasilkan getaran yang sama seperti Hati (Datuk Seri Siti Nurhaliza), merupakan runut lagu dicipta khas untuk filem 1957: Hati Malaya. Ia kedengaran lebih ‘mahal’ dan terkelas.

LIRIK
Lirik ditulis oleh Que Afiq/Sharon ini adalah penulisan lirik Melayu tipikal seperti kebanyakan lagu dihasilkan pengkarya-pengkarya baharu Malaysia. Jika anda mengikuti lagu-lagu dinyanyikan penyanyi generasi kini seperti Haqiem Rusli dan Aiman Tino, maka, anda akan faham mengapa saya kaitkan penulisan lagu mereka dengan Masihkah Ada Rasa Itu?.

Saya tidak nampak adanya pemberat dalam setiap bait yang diilhamkan, untuk mengenal pasti identiti dan ke mana hala tuju penulisan kreatif yang berada di tahap sederhana seperti ini.

Ini jauh berbeza daripada naskhah dicipta pengkarya lama yang bijak bermain bahasa dan kosa kata seperti Fedtri Yahya/Shah Shamsiri (Sampai Bila), Adnan Abu Hassan/ Mohariz (Tiada

Ruang Untukmu), Loloq/M. Nasir (Sembunyi) dan Ad Samad (Jiwa Sentuh Jiwa).

Misha pada saya tidak memberi masalah besar dalam nyanyian lagu ini, atau apa sahaja naskhah pop dan balada yang diberi. Ini kerana saya percaya dia adalah penyanyi yang mapan (established).

Misha juga begitu baik dalam menghayati dan menjiwai lagu-lagu yang melara dan setiap alunannya pasti membuai siapa sahaja yang mendengar suaranya yang merentasi golongan dan usia.

Pun begitu, andai saya diberi pilihan antara single baharu ini dan lagu-lagu terdahulunya, saya memilih mendengarkan karya-karya malar segarnya. Kesederhanaan Masihkah Ada Rasa Itu? memerlukan masa untuk beradaptasi sebelum ia benar-benar diangkat sebagai lagu malar segar sebaris karya Misha yang sedia ada.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya