KANGAR: Polis Perlis meningkatkan kawalan di sempadan negeri ini susulan suspek kes tembakan di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 1 dipercayai cuba melarikan diri ke negara jiran.
Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, pihaknya telah menggerakkan aset-aset berkaitan bagi meningkat kawalan di sempadan sebaik sahaja menerima maklumat daripada Bukit Aman.
Beliau berkata, kawalan berkenaan akan melibatkan koordinasi membabitkan Pasukan Gerakan Am (PGA) bersama pasukan sahabat lain.
“Kita turut meningkatkan kawalan di semua kawasan darat dan laut bagi memastikan suspek tidak bolos ke luar negara,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Dalam kejadian pukul 1.20 pagi tadi, seorang lelaki melepaskan tembakan terhadap isterinya menyebabkan seorang pengawal peribadi yang berada di Balai Ketibaan KLIA 1 mengalami kecederaan parah.
Lelaki berkenaan telah melepaskan dua das tembakan namun salah satu daripadanya terkena seorang lelaki tempatan yang juga pengawal peribadi.
Selain itu, suspek terlibat juga dipercayai melarikan diri ke Utara Semenanjung Malaysia susulan daripada insiden tembakan tersebut.
Dalam pada itu, Muhammad berkata, Pasukan Polis Marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang mengawal sempadan laut telah digerakkan bagi membantu kawalan berkenaan.
“Sekatan jalan raya turut dikoordinasikan bersama PGA di kawasan-kawasan tertentu sekitar negeri ini.
“Selain itu elemen risikan daripada pelbagai sumber turut dikerahkan bagi memastikan suspek tidak terlepas keluar dari sempadan negara ini,” katanya.
Tambahnya, buat masa ini, tiada sebarang perkembangan terkini berhubung tangkapan suspek berkenaan di negeri ini namun polis akan terus memantau rapi berhubung kes tersebut.-UTUSAN