PETALING JAYA: Polis percaya suspek yang melepaskan tembakan ke arah isterinya sebelum terkena pengawal peribadi di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) masih berada di dalam negara.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, usaha mengesan suspek Hafizul Zarawi, 38 yang mempunyai tiga rekod lampau dan salah satunya dikehendaki polis giat dilakukan.
“Kita (polis) yakin dia masih di negara ini dan tidak pergi jauh. Usaha kesan suspek giat dilakukan,” katanya ketika dihubungi.
Terdahulu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain meminta suspek untuk tampil menyerah diri di mana-mana balai polis terdekat.
Lelaki berkenaan diminta berbuat demikian secara aman dan memberi kerjasama sementara polis giat mengesan suspek.
Polis juga ketika ini melancarkan operasi mengesan selain mengarahkan Jabatan Siasatan Jenayah di kawasan negeri berhampiran serta sempadan negara untuk menjejak suspek.
Dalam konteks ini, pihak polis mengenal pasti suspek sebagai bersenjata dan merbahaya.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 pagi tadi, seorang pengawal peribadi kepada isteri suspek tercedera akibat terkena tembakan tersebut.
Akibat kejadian itu, pengawal peribadi berkenaan dikejarkan ke hospital berdekatan dan dilaporkan kritikal. – UTUSAN