Tarikh puasa, raya: Wajib patuh keputusan kerajaan - mufti

Tarikh puasa, raya: Wajib patuh keputusan kerajaan – mufti

WAN SALIM WAN MOHD. NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Umat Islam wajib mematuhi keputusan yang telah dibuat oleh kerajaan dalam menentukan tarikh permulaan puasa Ramadan serta hari raya.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor berkata, urusan seperti itu tidak harus ditentukan oleh orang perseorangan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) demi mengelak berlakunya sebarang kecelaruan dalam kalangan masyarakat Islam di sesebuah negara.

“Kepatuhan kepada pihak berkuasa atau wali amar adalah wajib kecuali jika disuruh melakukan maksiat.

“Penentuan waktu-waktu ibadat seperti permulaan bulan puasa dan hari raya bukan perkara maksiat. Maka, wajiblah rakyat mematuhi ketentuan yang telah diputuskan oleh kerajaan,” katanya di sini, hari ini.

Sebelum ini, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad mengumumkan bahawa umat Islam di Malaysia menyambut Aidilfitri pada Rabu lalu.

Keputusan menetapkan Aidilfitri itu adalah berdasarkan kedudukan bulan yang memenuhi kriteria ‘imkanur-rukyah’ dan menurut hitungan falak, ijtimak (bulan baharu) Syawal.

Bagaimanapun, baru-baru ini tular di laman sosial mengenai hantaran yang dimuat naik oleh seorang individu yang mahu menggenapkan puasa kepada 30 hari kerana anak bulan tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Keputusan tersebut dibuat susulan penampakan bulan baharu itu tidak jelas ekoran cuaca buruk dan awan tebal. Bagaimanapun, hantaran berkenaan mengundang pelbagai reaksi hingga menimbulkan perdebatan dalam kalangan pengguna media sosial.

Mengulas lanjut, Wan Salim berkata, kaedah untuk menentukan kewujudan hilal atau anak bulan menurut syarak adalah menerusi penglihatan mata oleh orang yang dipercayai pada agamanya dan kekuatan penglihatannya.

“Kaedah ini berdasarkan sebuah hadis daripada riwayat Abu Hurairah bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Hendaklah kamu berpuasa dengan melihat hilal dan berbuka (berhari raya) dengan melihatnya.

“Menurut fatwa Lajnah Da’imah yang berpusat di Jeddah, Arab Saudi, adalah harus berpegang kepada penglihatan hilal dengan bantuan teleskop untuk penentuan permulaan puasa Ramadan dan hari raya dengan syarat orang yang mengaku melihatnya adalah seorang yang dipercayai,”katanya.

Dalam pada itu, katanya, umat Islam yang enggan mengikut ketetapan yang diputuskan kerajaan dalam soal tarikh hari raya itu hendaklah diberi amaran supaya tidak mengulangi lagi perbuatan sedemikian.

“Sekiranya mereka terus berdegil pada masa hadapan,maka, pihak berkuasa hendaklah mengenakan hukuman ke atas mereka berdasarkan undang-undang sedia ada,”katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN