Tarikh Aidilfitri sah jika hisab penuhi kriteria   - Utusan Malaysia

Tarikh Aidilfitri sah jika hisab penuhi kriteria  

AZHARI Mohamed (kanan sekali) ketika sedang melaksanakan proses pencerapan hilal Syawal di PICC, Putrajaya baru-baru ini. - UTUSAN/AMREE AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Penentuan tarikh permulaan bagi Ramadan dan Syawal tetap bergantung kepada hisab atau pengiraan teknikal falak jika kaedah rukyah gagal untuk mencerap hilal.

 Justeru, menurut pakar falak terkenal tanah air, Datuk Dr. Azhari Mohamed, perkara itu tidak diketahui masyarakat yang menganggap kononnya wajib kena lihat anak bulan sahaja.

 “Malaysia bukanlah seperti negara-negara luar yang penetapan tarikh berkenaan hanya diputuskan dengan menggunakan sama ada hisab atau rukyah,” jelasnya ketika dihubungi.

 Beliau merujuk mengenai banyak hantaran di media sosial yang mempertikaikan pengumuman tarikh Hari Raya Puasa oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad.

 Kelompok itu mendakwa konon gagal mencerap anak bulan dengan mata kasar sendiri serta menganggap perlu berpuasa lagi pada keesokannya untuk genap 30 hari Ramadan.

 Isu berkenaan tercetus ekoran Arab Saudi memutuskan Aidilfitri pada 10 April setelah hilal gagal dikesan di sana dan mereka mendakwa Malaysia mestilah beraya selepas tarikh itu.

 Mengulas lanjut, Azhari yang juga Penasihat Persatuan Falak Syari’ Malaysia berkata, setiap kali proses pencerapan dibuat, ada empat kemungkinan yang sudah pun boleh diramalkan.

 “Jika hisab adalah positif dan rukyah juga positif, maka esok adalah 1 Syawal, manakala kalau hisab dan rukyah kebetulan kedua-dua negatif, maka esok 30 Ramadan,” katanya.

 Ironi tambah beliau  yang juga bekas Ketua Pengarah Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia, situasinya adalah berbeza jika berlaku kes hisab adalah positif tetapi rukyah pula negatif.

 Sekiranya terjadi keadaan sebegini ujar beliau, Majlis Raja-Raja menetapkan keesokannya ialah 1 Syawal kerana data hitungan hisab adalah sah setelah melalui proses kiraan teliti.

 Bagaimanapun jelas beliau, senario adalah amat ‘berisiko’ jika hisab adalah negatif namun rukyah pula tiba-tiba didapati positif seperti yang pernah berlaku pada 2022 lalu.

 Kes itu, katanya mengajuk dialog popular seniman Tan Sri P. Ramlee dalam filem Nujum Pak Belalang, sebagai ‘jarang-jarang’ kerana sukar untuk terjadi tetapi ia tidak juga mustahil.

 “Insiden nadir sebegini dua tahun lalu malah menyebabkan situasi disebut ‘Raya Terkejut’ kerana dalam takwim kerajaan dinyatakan jumlah 30 hari puasa Ramadan,” terang Azhari.

 Menyentuh isu kenapa Arab Saudi gagal mencerap hilal berbanding jangkaan awal yang negara itu beraya pada 9 April, beliau berkata, bahawa banyak faktor perlu juga diambil kira.

 Antaranya proses ijtimak atau situasi fenomena bumi, bulan dan matahari berada dalam satu barisan lurus belum berlaku ketika cerapan di sana petang 8 April lalu.

 Jajaran fasa bulan baharu yang dirujuk saintis astronomi global sebagai konjungsi itu pula jelasnya, hanya terjadi lebih tiga jam kemudian dan dapat dilihat serentak di seluruh dunia.

 Walhal Malaysia pada hari pencerapan 9 April, sudah dapat melihat fenomena itu dengan usia anak bulan telah melebihi tempoh 17 jam dan dianggap matang dari segi kiraan falak.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN