PETALING JAYA: “Saya tak pernah terfikir melakukan sesuatu itu kerana mengharapkan penghargaan.”
Demikian jawapan penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza berhubung saranan peminat yang mahu suri hati Malaysia itu dianugerahkan gelaran Biduanita Negara atas sumbangan, kelayakan dan penghargaan seninya.
Jelas Siti Nurhaliza, dia tidak pernah terfikir untuk memburu sebarang pengiktirafan atau penghargaan tertinggi sepanjang 28 tahun dalam industri seni sebaliknya apa yang dilakukan selama ini adalah kerana minat dan sayang kepada peminatnya.
“Saya rasa, tak perlulah saya mengharap sangat (gelaran biduanita). Sebab kerja-kerja yang saya lakukan sekarang (menyanyi), saya buat sebab minat. Saya terus lakukan kerana peminat-peminat saya.
“Saya suka melihat mereka gembira dan terhibur dengan lagu-lagu nyanyian saya. Tak pernah pula terfikir mahu anugerah atau pengiktirafan semua. Saya tak mengharapkan penghargaan, cukup peminat saya rasa disayangi,” katanya.
Penyanyi prolifik itu berkata demikian ketika majlis iftar anjuran bersama Yayasan Nurjiwa dan Yayasan Prihatin baru-baru ini.
Tambah Siti Nurhaliza, dia hanya boleh mengucapkan syukur dan berterima kasih di atas saranan pengiktirafan tertinggi tersebut malah percaya jika sudah tertulis rezeki untuknya, dia berbesar hati.
“Dalam satu masa, saya cuma boleh ucapkan Alhamdulillah. Tetapi dalam masa sama juga, semua itu adalah rezeki. Bila namanya rezeki, sampai masa jika Tuhan takdirkan, akan dapat juga.
“Tetapi bukan itu yang saya kejar. Hati saya lagi gembira jika dapat terus menghiburkan peminat-peminat saya. Rasa senang dalam hati bila lihat mereka tersenyum dan sama-sama menyanyi,” katanya.
Terdahulu, kejayaan konsert Sebuah Epitome: Saya Siti Nurhaliza pada 9 Mac lalu menarik perhatian ramai pihak yang menyarankan agar penyanyi itu wajar diberikan gelaran Biduanita Negara.
Saranan itu turut mendapat perhatian oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang terpanggil untuk menjawab gelaran Biduanita Negara yang mungkin boleh diberikan kepada Siti Nurhaliza di atas kredibiliti dan sumbangan seninya.
Untuk rekod, gelaran Biduanita Negara buat masa ini hanya diberikan kepada dua penyanyi sahaja iaitu Allahyarham Puan Seri Saloma dan Allahyarham Datuk Sharifah Aini.-UTUSAN