BATU PAHAT: “Terima kasih Ummi.” Itu ayat yang terpacul daripada mulut Eusuf Abdul Fatah, 5, sebaik ditanya tentang ibu saudaranya Norhisham Samsusah, 37.
Eusuf yang juga anak Mira Sharmilah Samsusah, 32, yang lebih dikenali sebagai Bella yang didakwa dibunuh kejam oleh teman lelakinya hujung tahun lalu kini menumpang kasih ibu saudaranya itu selepas kehilangannya ibunya pada 14 Disember tahun lalu.
Menurut Norhisham atau lebih dikenali sebagai Ayu, sejak ketiadaan Bella, Eusuf dan adiknya Mariam, 3, sentiasa bermanja dengannya.
Ayu mengakui perlu menjadi ‘pengganti’ Bella supaya Eusuf tidak terlalu berasa kehilangan ibunya dan sentiasa menyayangi dan memberikan belaian kasih sayang.
“Ketika dipakaikan baju raya semalam, Eusuf ada berkata: “kita beraya tahun ini, mummy tak ada pun bersama”.
“Kata-kata yang terpacul daripada mulutnya menggambarkan kerinduannya terhadap Bella yang sudah lebih empat bulan tidak ditemuinya,” katanya ketika Utusan Malaysia di Tanah Perkuburan Islam Banang Jaya di sini.
Menurut Norhisham, kebiasaannya ketika Hari Raya Aidilfitri, Bella adalah orang paling teruja dalam keluarganya untuk melakukan persiapan, khususnya untuk Eusuf dan Mariam.
Mereka akan pulang ke Kampung di Kuala Selangor dua atau tiga hari lebih awal kerana mahu berkumpul bersama-sama keluarga untuk membuat persiapan seperti menghias rumah dan membuat kuih atau biskut.
“Kini semua itu tiada lagi dan hanya tinggal kenangan, malah sambutan raya tahun ini dirasakan terlalu sepi apabila tiada lagi celoteh Bella ketika menyiapkan anak-anaknya. Selagi hayat dikandung badan, saya akan memberikan kasih sayang kepada Eusuf dan Mariam seperti diberikan ibunya, Bella sebelum ini,” katanya.
Pada Ayu, Eusuf dan Mariam bukan lagi sekadar anak saudaranya, namun sebagai amanah Allah untuknya mendidik dan membesarkan mereka. – UTUSAN