KUALA TERENGGANU: Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin sangat mementingkan erti persahabatan ketika masih bergelar pelajar di Sekolah Menengah Sultan Sulaiman di sini.
Seorang rakannya, Noor Fadzil Mohamed Nor berkata, ketika bersekolah menengah, baginda mesra dengan kawan-kawan dan tidak kekok mengadakan pelbagai aktiviti bersama.
“Baginda adalah seorang yang berbudi pekerti tinggi, pemalu dan tidak pernah meninggi diri walaupun umum mengetahui baginda bakal menjadi Sultan Terengganu.
“Sifat mulia baginda masih kekal hingga sekarang, setiap kali kami (Kelab SS 78) datang sembah menghadap Sultan Mizan yang menjadi penaung kelab, baginda pasti menyambut dengan mesra,” katanya ketika ditemui di sini.
Dalam pada itu, keprihatinan baginda terhadap pertumbuhan ekonomi negeri yang lebih inklusif juga sangat dikagumi rakyat jelata dan perkara itu diakui beberapa usahawan.
Pemilik Ziq Bakery & Cake, Suzana Salleh pula berkata, baginda mengambil berat mengenai perkembangan terbaru usahawan dalam Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di Terengganu.
Menurutnya, Sultan Mizan juga peka dengan sebarang keperluan dan luahan usahawan yang disampaikan kepada baginda dalam kesempatan bertemu rakyat selama ini.
“Pengalaman paling manis saya ialah dapat memberi penerangan kepada Sultan Mizan mengenai perkembangan syarikat dalam industri perniagaan makanan yang sudah beroperasi sejak 20 tahun lalu.
“Baginda sangat teliti mendengar penerangan yang disampaikan dan bertitah agar syarikat kami terus maju untuk memberi peluang pekerjaan kepada lebih ramai anak tempatan dan mengukir nama di peringkat antarabangsa,” katanya.
Selain pertumbuhan ekonomi negeri dan keusahawanan, keprihatinan Sultan Mizan terhadap industri pelancongan terutama pulau-pulau peranginan juga sangat dihargai oleh rakyat jelata.
Pemilik Ombak Kapas Island Resort, Hawa Abd Rahman berkata, Sultan Mizan sangat terkenal dengan sifatnya yang cintakan alam semulajadi dan keindahan dasar laut di perairan Terengganu.
Katanya, industri pelancongan adalah antara sumber pendapatan yang penting untuk meningkatkan daya saing bagi menjamin pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh dan berkembang supaya rakyat Terengganu turut mendapat manfaatnya pada masa akan datang.
“Kami sangat menghargai peranan baginda yang sangat besar dalam memperkasakan bidang pelancongan di Terengganu selama ini.
“Keperibadian baginda secara tidak langsung telah melonjakkan lagi nama Terengganu sebagai lokasi pelancongan bertaraf dunia dan tanggungjawab kami sebagai penggiat industri pelancongan pula adalah menyediakan perkhidmatan yang berkualiti kepada pelancong,” katanya. – UTUSAN