SEPANG: Suasana di Lapangan Terbang Antarbangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada masa ini dilaporkan terkawal meskipun syarikat penerbangan AirAsia dan Malaysia Airlines (MAS) masing-masing membatalkan semula penerbangan ke Sabah dan Sarawak susulan letusan Gunung Ruang di Sulawesi, Indonesia.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, jumlah penumpang yang berada di Terminal 1 dan Terminal 2 tidak seramai semalam dan mereka kelihatan tenang menunggu pengumuman dari pihak penerbangan dari semasa ke semasa.
Ia berikutan tindakan pemakluman awal oleh syarikat penerbangan kepada penumpang terjejas yang disalurkan melalui khidmat pesanan ringkas (sms) melalui nombor telefon yang didaftarkan.
Rata-rata penumpang yang ditemui bagaimanapun enggan ditemubual, namun menyifatkan ia adalah di luar kawalan dan tindakan yang diambil pihak penerbangan adalah demi keselamatan penumpang dan kru ekoran bencana alam itu.
Terdahulu, AirAsia membatalkan 59 penerbangan milknya melibatkan laluan ke Sabah dan Sarawak termasuk meliputi laluan antarabangsa seperti Singapura, Shenzen, Hong Kong dan Taipei.
Susulan itu, AirAsia dalam satu kenyataan berkata, semua penumpang terjejas dinasihatkan untuk menyemak status penerbangan terkini mereka di airasia.com/flightstatus selain digalakkan untuk menyemak e-mel dan telefon bimbit berdaftar mereka untuk pemberitahuan pembatalan.
Selain itu, MAS turut membatalkan semula beberapa penerbangan antara Kuala Lumpur dengan Sabah selepas mengambil kira cuaca dan keselamatan operasi.
Sebelum ini MAS mengumumkan ia telah memulakan pengembalian semula secara beransur-ansur penerbangan ke dan dari Sabah, Sarawak, dan Wilayah Persekutuan Labuan sejak petang semalam.
Penumpang MAS dinasihatkan untuk mengemas kini butiran di laman web MAS untuk menerima kemas kini tepat pada masanya dari semasa ke semasa melalui e-mel dan SMS.
Untuk meminimumkan kesulitan disebabkan pembatalan yang tidak dijangka, MAS menawarkan pelanggan yang terjejas perubahan satu kali pada jadual perjalanan mereka secara percuma, atau memilih bayaran balik penuh tanpa mengira keluarga tambang mereka. – UTUSAN