PUTRAJAYA: Situasi semasa di Asia Barat kekal stabil dan dianggap selamat untuk dilawati setakat hari ini.
Mengesahkan perkara itu, Kementerian Luar Negeri memaklumkan, keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia di luar negara tetap menjadi keutamaan kerajaan.
Katanya, pada masa ini, tiada keperluan pemindahan pulang rakyat Malaysia, termasuk pelajar Malaysia di rantau ini.
“Bagi memastikan tindakan segera dan berkesan dapat diambil sekiranya menghadapi situasi kecemasan, Kementerian Luar Negeri menubuhkan bilik operasi yang memberi tumpuan kepada Iran, Iraq, Jordan dan Lubnan.
“Ini untuk memantau perkembangan di rantau ini dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada masa sama, Kementerian Luar Negeri menggesa semua rakyat Malaysia yang bermastautin atau melancong ke kawasan tersebut untuk tetap berwaspada dan terus mengikuti perkembangan situasi semasa.
Jelasnya, adalah penting untuk mematuhi peraturan dan panduan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa yang berkaitan di negara-negara terlibat.
“Rakyat Malaysia juga digalakkan untuk mendaftarkan diri dengan Kedutaan Besar Malaysia di negara yang berdekatan.
“Ini akan memudahkan komunikasi dan bantuan dalam situasi kecemasan,” katanya. – UTUSAN