Siasatan MB: UMNO Perlis tidak raikan, fokus beri perkhidmatan pada rakyat - Utusan Malaysia

Siasatan MB: UMNO Perlis tidak raikan, fokus beri perkhidmatan pada rakyat

ROZABIL ABD. RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: UMNO Perlis berharap semua pihak menghormati proses perundangan berkaitan isu siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung salah guna kuasa melibatkan kepemimpinan kerajaan negeri.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Rozabil Abd. Rahman berkata, meskipun memandang serius isu berkenaan namun siasatan tersebut adalah sebahagian daripada proses perundangan dan semua pihak perlu menghormati proses berkenaan sesuai dengan peruntukan undang-undang negara.

Katanya, UMNO Perlis tidak melihat isu siasatan tersebut sebagai sesuatu yang perlu diraikan kerana bagi parti itu keutamaan adalah untuk memberikan perkhidmatan kepada rakyat agar nasib mereka terus terbela.

“Kita berpendirian, kemenangan dalam pilihan raya bukanlah jaminan kecekapan mentadbir.

“Oleh itu, siapa pun yang memikul tanggungjawab sebagai pemimpin, perlu terbuka menerima sebarang teguran dan berani membuat perubahan, kerana kebaikan untuk rakyat serta negeri adalah lebih utama berbanding kepentingan diri,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli diambil keterangan oleh SPRM berhubung kes salah guna kuasa.

.Minggu lalu, media melaporkan mengenai penahanan reman anak kepada Menteri Besar Perlis bersama seorang pegawai kanan kerajaan negeri dan empat individu lain bagi membantu siasatan berhubung kes berhubung kes pemalsuan dokumen tuntutan palsu.

Kesemua mereka bagaimanapun telah dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas tiga hari ditahan reman.

Semalam media juga melaporkan, SPRM akan menyiasat seorang pemimpin politik kerana disyaki melantik beberapa syarikat yang mempunyai kepentingan dengan anaknya membabitkan peruntukan bernilai kira-kira RM300,000.

Satu sumber memberitahu, pemimpin tersebut disyaki melantik beberapa syarikat bagi kerja-kerja seperti membaik pulih dan melakukan penyelenggaraan jalan yang melibatkan peruntukan Pejabat Menteri Besar.

Kata sumber itu, projek-projek tersebut juga dipercayai dimonopoli oleh anak pemimpin tersebut dengan menggunakan beberapa lesen syarikat-syarikat di bawah kawalannya.

Sementara itu, Rozabil berkata, UMNO Perlis akan meneruskan semua program yang telah dirancang.

“Sekiranya berlaku pergolakan politik dalam kalangan parti-parti yang memerintah negeri, kita tidak mahu usaha pembangunan negeri dan kebajikan rakyat terjejas.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya