PUTRAJAYA: Umat Islam yang sengaja berniat meraikan Hari Raya Aidilfitri lewat sehari boleh ditahan serta didakwa sebagai kes derhaka kepada Yang di-Pertuan Agong.
Demikian ditegaskan bekas Ketua Hakim Syarie Wilayah Persekutuan, Datuk Mohamad Abdullah sebagai mengulas tindakan segelintir menyambut perayaan itu pada 11 April lalu.
“Individu ini sebenarnya akan dikira sebagai melakukan satu kesalahan melanggar perintah pihak berautoriti malah dia boleh dituduh di mahkamah syariah,” katanya ketika dihubungi.
Sejak Selasa lalu tular hantaran beberapa warganet yang meragui pengumuman rasmi tarikh Hari Raya Puasa oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad.
Mereka mendakwa kononnya tidak melihat anak bulan Syawal dengan mata kasar sendiri dan menganggap masih perlu berpuasa pada keesokannya agar genap 30 hari Ramadan.
Bahkan, kumpulan tersebut menyifatkan tarikh Aidilfitri itu tidak sah kerana dirayakan serentak dengan Arab Saudi pada 10 April setelah hilal gagal dicerap di negara berkenaan.
Mengulas lanjut, Mohamad yang juga pakar falak rujukan Wilayah Persekutuan berkata, dari segi hukum syaraknya, individu itu dianggap ingkar arahan ulil amri selaku pihak penguasa.
“Kes sebegini boleh didakwa menurut Seksyen 9, Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 kerana menghina atau mempertikai Yang di-Pertuan Agong,” katanya.
Situasi itu ujar beliau, disebabkan pengisytiharan tarikh 1 Syawal hanya diwartakan sah selepas ia mendapat perkenan Seri Paduka Baginda setelah dipersetujui Majlis Raja-Raja.
Malaysia jelasnya, menerima pakai kaedah penetapan permulaan Ramadan dan Syawal berdasarkan hisab dan rukyah sejak 1972 untuk penyeragaman tarikh di seluruh negara. – UTUSAN