PETALING JAYA: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli antara lima individu yang dilantik sebagai Setiausaha Politik Pejabat Presiden PKR.
Selain Juwairiya, turut dilantik ialah Ahli Parlimen Batu Pahat, Onn Abu Bakar; Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin dan bekas Ahli Parlimen Kapar, Manivanan Gowin.
Dalam pada itu, Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Datuk Romli Ishak dilantik sebagai Setiausaha Politik Kanan Pejabat Presiden (Koordinator).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Sekretariat Pejabat Presiden diamanah untuk memartabatkan dan memperkasa, membantu dan menyelaras pergerakan di semua peringkat PKR serta memantau aktiviti dan gerak kerja di semua peringkat parti.
Kata Presiden PKR itu, Sekretariat Pejabat Presiden juga diamanahkan menyemak Perlembagaan parti untuk mengisbatkan hala tuju dan masa depan PKR serta memberi pandangan dan cadangan dalam isu-isu semasa berbangkit dalam politik negara.
“Justeru, pimpinan dan anggota PKR, dinasihatkan untuk berganding bahu dalam menggalas tanggungjawab untuk mendukung aspirasi PKR demi menjuarai hak dan kebajikan rakyat demi masa depan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini. – UTUSAN