KUALA LUMPUR: “Saya tidak berjuang untuk mendapatkan gelaran. Gelaran itu akan datang tepat pada waktunya. Itu sahaja yang saya hendak beritahu.”
Demikian jawapan penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza a[pabial ditanya berhubung ‘perdebatan’ gelaran Biduanita Negara yang meledak di media sosial baru-baru ini.
Kongsi penyanyi Cindai itu, dia tidak mahu membebankan fikirannya memikirkan soal gelaran dan pengiktirafan sebaliknya hanya memfokuskan kepada memberi semula khidmatnya kepada masyarakat termasuk peminat.
“Berdirinya Siti di sini sebagai anak seni, sebenarnya lebih kepada menghiburkan serta berjuang untuk minat yang saya ada. Itu yang saya lakukan selama lebih dua dekad dalam industri seni.
“Saya tidak mahu bebankan fikiran mengenai isu biduanita ini, tidak payah dan tidak perlu pun. Isu kelayakan menyandang gelaran itu juga bukan sesuatu yang harus diperdebatkan.
“Kalau sudah rezeki, sampai masa dan sudah tertulis itu adalah rezeki saya, dapatlah. Tak dapat tak apa, bukan sesuatu yang harus dikejar,” katanya.
Ibu kepada dua orang anak itu ditemui semasa majlis sambutan Aidilfitri anjuran Yayasan Nurjiwa dan CTDK Holdings baru-baru ini.
Tetap prinsipnya, penyanyi yang sudah merangkul ratusan anugerah dalam dan luar negara ini menegaskan perjuangannya dalam karier seni adalah untuk peminat yang menonton dan menghargai lagu-lagu nyanyian serta ciptaannya.
“Kalau tiada pun, saya tak rasa apa-apa sebab cinta saya lebih kepada kerja-kerja menghiburkan. Orang yang menonton, melihat persembahan dan menghargai lagu-lagu saya, itu lebih memberi makna.
“Bukan saya bermaksud tidak menghargai itu, tetapi perjuangan utama saya adalah terhadap karier seni,” katanya.