KUANTAN: Kira-kira 15,000 tetamu pelbagai kaum hadir ke Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Besar Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini semalam.
Datuk Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, semangat perpaduan antara rakyat terus terjalin dengan kukuh, harmoni dan muhibah apabila rakyat berpusu-pusu hadir majlis terbuka dari pukul 9 pagi hingga 5 petang.
“Terima kasih kepada seluruh masyarakat di negeri ini yang hadir memeriahkan Rumah Terbuka Aidilfitri peringkat negeri ini” katanya kepada pemberita semalam.
Seorang tetamu dari Felda Jengka 24, Razak Daud mengakui memang menanti Rumah Terbuka Menteri Besar walaupun terpaksa menempuh perjalanan lebih 160 kilometer ke majlis itu.
Razak berkata, sepanjang majlis berlangsung Menteri Besar sentiasa bermesra dan menyapa pengunjung terdiri pelbagai bangsa.
Menurutnya, tetamu yang hadir bukan sahaja dari sekitar kuantan malah dari Jerantut, Temerloh, Maran, Bera, Benting, Lipis dan Raub. – UTUSAN