KANGAR: Setiap rumah kebajikan di Perlis diseru agar dapat melaksanakan program-program penghayatan dan pengajaran agama Islam buat para penghuninya.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, selain memberikan perlindungan dan sokongan kebajikan kepada penghuni, setiap rumah kebajikan seharusnya melaksanakan program-program berkenaan.
“Aspek-aspek rohaniah dan kesihatan mental harus diberikan penekanan kepada para penghuni di rumah kebajikan agar dapat terus memberikan keseimbangan kehidupan kepada mereka,” titah baginda.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah demikian sewaktu Majlis Penyerahan Sumbangan berjumlah RM25,000 buat rumah-rumah kebajikan di negeri ini di Masjid Al Rahim Titi Tok Bandar, di sini, baru-baru ini.
Penyerahan sumbangan berkenaan disalurkan bertujuan bagi pengimarahan bersempena bulan Ramadan.
Menerusi pemberian itu, rumah kebajikan yang menerima sumbangan tersebut adalah Rumah Seri Kenangan Jejawi, Rumah Kanak-kanak Arau, Pusat Jagaan Warga Emas Rumah Sejahtera Batu Bertangkup, Rumah Sejahtera Warga Emas Baitul Hanan Behor Mali dan Pusat Jagaan Teratak Rahmat Mata Air.
Dalam perkembangan sama, Tuanku Syed Faizuddin selaku Yang Dipertua MAIPs turut menyeru seluruh masyarakat agar menggunakan kesempatan Ramadan baru-baru ini dan tahun-tahun mendatang untuk menggandakan amalan masing-masing.
“Ini antaranya dengan menyalurkan sumbangan wakaf melalui MAIPs bagi menyahut Kempen Kesedaran Berwakaf Peringkat Negeri Perlis yang dilancarkan baru-baru ini,” titah baginda.
Untuk rekod, buat masa ini, MAIPs sedang dalam perancangan bagi membina sebuah Pusat Pakar dan Pembedahan Katarak di bawah kendalian Hospital Tuanku Fauziah (HTF).
Mana-mana pihak yang berhasrat menyalurkan sumbangan boleh melayari laman portal rasmi MAIPs iaitu www.maips.gov.my.-UTUSAN