Remy Ishak reda anak jadi perhatian - Utusan Malaysia

Remy Ishak reda anak jadi perhatian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pelakon popular, Remy Ishak memaklumkan dia tidak akan menolak permintaan tetamu yang ingin bertemu dan bergambar dengan anaknya, Tuah Alam. 

Kata Remy, dia terbuka memandangkan tahun ini merupakan kali pertama anaknya yang kini berusia lapan bulan itu pulang ke kampung halaman dan bertemu saudaranya di Melaka.

“Kalau orang nak datang dan bergambar dengan Tuah, tiada masalah. Nak buat macam mana, orang sudah kenal dia. 

“Perkara begini juga sudah jadi trend, cuma sebagai bapa saya kena bijak kawal keadaan. 

“Tak apalah, nanti Tuah dapat duit raya,” katanya berseloroh ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Bercerita mengenai persediaan lebaran kali ini, Remy bersyukur kerana isterinya, Ezza Yusof telah membuat persiapan lebih awal.

“Isteri saya sudah sediakan semua kelengkapan hari raya. Saya baru rancang nak tengok baju raya, rupa-rupanya dia dah beli. Tak mengapa, asalkan isteri saya gembira, saya pun sama gembira.

“Tahun ini saya beraya di Melaka, teman emak di kampung memandangkan adik-beradik saya semuanya beraya di rumah mentua masing-masing. Keluarga Ezza pula hanya di Ampang sahaja,” katanya. 

Dalam pada itu, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik pada Anugerah Festival Filem Malaysia ke-31 itu juga memaklumkan personalitinya banyak berubah selepas bergelar seorang bapa.

“Sebagai bapa, saya akan utamakan Tuah dalam setiap perkara yang saya lakukan. 

“Personaliti saya pun sudah berubah, kini lebih penyabar. Kalau dulu jika terperangkap dalam kesesakan jalan raya saya akan marah. Sekarang kalau nak marah pun tak jadi sebab teringat kita sudah ada anak. 

“Kerja pun bukan lagi tentang minat tetapi niat untuk beri anak makan. Dalam buat keputusan ia bukan lagi tentang diri kita seorang,” tambahnya. 

Untuk rekod, Remy dan Ezza sah bergelar suami isteri pada 21 Ogos 2021 dan dikurniakan anak sulung, Tuah Alam yang lahir pada 27 Julai tahun lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN