PETALING JAYA: Persoalan sama ada Hari Raya Aidilfitri disambut esok atau lusa diketahui pada pukul 8 malam ini.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memaklumkan, pengumuman rasmi tarikh Hari Raya Aidil Fitri 1445H /2024M akan dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja selaku pihak berkuasa yang diamanahkan oleh Majlis Raja-Raja setelah membuat cerapan hilal.
Menurut Jakim dalam satu hantaran Facebook, pengumuman itu akan disiarkan secara langsung menerusi stesen Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) Saluran 1 pada pukul 8 malam ini.
Sejak pagi ini, persoalan sama ada disambut esok atau lusa hangat diperkatakan oleh orang ramai ekoran Arab Saudi menyambut 1 Syawal pada esok bersamaan 10 April.
Memetik tulisan Penolong Pengarah Kanan, Seksyen Falak, Bahagian Penyelidikan Jakim, Khairul Anuar Yazid dan Shahril Azwan Hussin dalam satu tulisan memberitahu, di negara ini anak bulan akan dicerap pada petang ini di 29 lokasi di seluruh negara dengan tarikh Aidilfitri yang jatuh pada 1 Syawal berkemungkinan esok atau lusa.
Bagaimanapun katanya, negara di Asia Barat seperti Arab Saudi pula berbuat demikian, semalam.
Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja bertanggungjawab menjalankan titah perintah Yang di-Pertuan Agong setelah diperkenankan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja membuat pengumuman tarikh puasa dan dua hari raya menerusi RTM.
Terdapat tiga kaedah diguna pakai oleh negara Islam bagi penentuan awal bulan hijriah, iaitu Rukyah Hakiki, Hisab Hakiki serta Rukyah dan Hisab berpandukan Kriteria Imkanur Rukyah (KIR). Malaysia mengguna pakai Rukyah dan Hisab berpandukan KIR.
Secara amnya jika KIR dipenuhi pada hari ke 29 maka esoknya bermula awal bulan hijri dan sekiranya kriteria tidak dipenuhi maka esoknya digenapkan kepada 30 haribulan. – UTUSAN