Rakyat cipta momentum baharu sempena Aidilfitri

Rakyat cipta momentum baharu sempena Aidilfitri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyeru masyarakat untuk bersama-sama mencipta momentum baharu bersempena dengan ketibaan 1 Syawal kali ini yang dijangka Rabu ini.

Presidennya, Ahmad Fahmi Mohd. Samsudin berkata, ABIM memerhati suasana yang berlaku dalam persekitaran politik negara dan masyarakat sepanjang Ramadan ini.

Katanya, tradisi bermaaf-maafan yang sinonim dengan Hari Raya Aidilfitri bukan sekadar rutin semata-mata tetapi turut mempunyai makna yang sangat mendalam.

“Sebaliknya ia adalah gambaran kepada tekad seseorang untuk mengakui kekhilafan yang ada pada diri di samping keterbukaan memaafkan orang lain dalam merintis jalan hidup damai pada masa akan datang.

“Ini selaras dengan pengamatan oleh Allahyarham Datuk Dr. Siddiq Fadzil di mana beliau mengatakan makna di sebalik ucapan selamat merujuk kepada semangat hidup damai yang berakar umbi dalam tradisi masyarakat Melayu sejak sekian lama.

“Atas kesedaran tersebut budaya hidup damai ini perlu diperkukuhkan serta diketengahkan kembali sebagai jalur pemikiran perdana yang turut selaras dengan tuntutan serta gesaan Fiqh Taayush,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan, seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang diseru mengamalkan sifat ‘maaf zahir batin’ ke tahap lebih tinggi bagi melawan kebencian dan provokasi antara kaum dan agama.

Seruan itu dilakukan 13 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyifatkan mereka sebagai masyarakat sivil dan media dengan melancarkan kempen Maaf Zahir Batin (#MZB365).

Utusan Malaysia dan Kosmo! antara yang menyokong kempen tersebut untuk mempromosikan budaya hidup damai serta harmoni dalam masyarakat.

Mengulas lanjut, Ahmad Fahmi berkata, inisiatif #MZB365 tidak sahaja terhad ketika perayaan Aidilfitri yang bakal dilalui tidak lama lagi.

“Sebaliknya #MZB365 adalah inisiatif yang digerakkan sepanjang tahun meliputi setiap aspek serta lapangan kehidupan. Untuk itu adalah penting untuk kisah-kisah inspirasi yang membawa hidup semangat hidup damai yang sering diuji dengan pelbagai kemungkinan serta si­tuasi,” katanya.

“Asas kepada #MZB365 adalah keterbukaan setiap anggota masyarakat untuk mengakui kesilapan serta kekhilafan yang dilakukan dengan tekad bagi tidak mengulanginya pada masa akan datang,” katanya.

Tambahnya, ABIM yakin bahawa semangat yang dibawa inisiatif #MZB365 dapat menyegarkan semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat Malaysia secara damai yang dihidupkan dengan nayalara, Kepelbagaian Dalam Bingkai Kesatuan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN