KUALA LUMPUR: Tarikh 1 April menyaksikan portal rasmi sulung yang menyediakan perkhidmatan carian dan pembelian maklumat korporat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang diberi nama “SSM e-Info”, sekali lagi melakar sejarah.
Setelah hampir dua dekad berkhidmat bersama SSM sejak tahun 2006, di bawah seliaan syarikat milik penuh bumiputra, Raffcomm Sdn. Bhd. (RAFFCOMM), penyeliaan portal “SSM e-Info” kini diambil alih oleh anak syarikatnya pula, iaitu Raffcomm Technologies Sdn Bhd (RAFFTECH).
RAFFTECH juga bukanlah nama asing bagi SSM, mahupun di lapangan industri teknologi maklumat terutamanya di bidang teknologi Tandatangan Digital. RAFFTECH, pemegang lesen Pihak Berkuasa Pemerakuan (Certification Authority) sudah pun menjadi pembekal sijil digital untuk “Salinan Diperakui Sah” dokumen SSM atau lebih dikenali sebagai “DCTC” (Digitally Certified True Copy).
Inisiatif pertama yang dilaksanakan oleh RAFFTECH dalam usaha menyambung legasi syarikat induknya adalah menaiktaraf portal “SSM e-Info” dengan ‘facelift’ antara-muka dan juga kefungsian yang lebih efisien dan mesra pengguna.
Pengguna setia portal “SSM e-Info” semestinya maklum tentang keunikan yang dimiliki oleh portal tersebut iaitu kemudahan pembayaran menggunakan ‘e-wallet’ milik syarikat yang diiktiraf Bank Negara Malaysia (BNM) sejak tahun 2013.
Tidak hanya terhad kepada kemudahan portal, pengguna juga mempunyai pilihan untuk menggunakan aplikasi mudah alih yang juga sedang dinaik taraf seiring dengan transformasi portal.
Selain pembekalan maklumat korporat SSM melalui portal “SSM e-Info”, RAFFCOMM juga telah menjalinkan integrasi sistem melalui ‘API’ bagi pemindahan data yang lebih cekap dan efisien sejak tahun 2009. Pelanggan integrasi terdiri daripada pelbagai sektor korporat, termasuk Agensi Kerajaan, Agensi Pelaporan Kredit, Perbankan, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan banyak lagi.
RAFFTECH meneruskan warisan ini dengan menambah beberapa pakej ‘added-value’ bagi memastikan penyesuaian manfaat pelanggan dan peningkatan mutu servis secara keseluruhannya, sejajar dengan pelancaran portal wajah baru “SSM e-Info” Isnin lalu.
Layari laman sesawang www.ssm-einfo.my. – UTUSAN