PRK enam parlimen: Bergantung keputusan Speaker Dewan Rakyat - Utusan Malaysia

PRK enam parlimen: Bergantung keputusan Speaker Dewan Rakyat

UMNO Selangor
MEGAT ZULKARNAIN OMARDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kekosongan enam kerusi parlimen yang disandang oleh wakil daripada Parti Bersatu susulan pindaan terhadap perlembagaannya masih bergantung kepada keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, kekosongan kerusi tidak semestinya berlaku jika Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul tidak mengisytiharkannya.

“Itu saya tidak tahu (kerusi perlu dikosongkan), itu perlembagaan Bersatu, yang memindanya adalah Bersatu. Apa tafsiran, ayat dan keputusannya kita tunggu selepas Speaker buat keputusan,” katanya kepada pemberita.

Tambahnya, bagaimanapun UMNO Selangor bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) jika kekosongan tersebut dikuatkuasakan termasuk di kawasan yang disandang Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi di Parlimen Tanjong Karang.

Terdahulu, ROS meluluskan usul pindaan yang dibuat Bersatu menerusi Perhimpunan Agung Khas (EGM) bagi membolehkan pengosongan kerusi dilakukan terhadap wakil rakyatnya yang berpaling daripada kepemimpinan parti.

Pindaan tersebut berkuat kuasa pada 8 April lalu selepas perwakilan yang hadir pada EGM Bersatu pada 2 Mac lalu secara sebulat suara menyatakan sokongan terhadap usul berkenaan yang akan melucutkan serta-merta keahlian wakil rakyatnya jika menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak secara bertentangan dengan parti.

Usul pindaan tersebut dibuat selepas enam ahli parlimen dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada parti itu bertindak menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan negeri.

Mereka adalah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zulkafperi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Di Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari (ADUN Selat Klang) pula menjadi wakil rakyat terakhir mengisytihar sokongan kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN