Polis tumpas sindiket dadah, rampas syabu lebih RM700,000 - Utusan Malaysia

Polis tumpas sindiket dadah, rampas syabu lebih RM700,000

FISOL Salleh menunjukkan sebahagian dadah dan daun ketum yang berjaya dirampas oleh pihak polis dalam sidang akhbar di IPK Kedah, Alor Setar. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Polis Kedah berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah yang aktif sejak dua tahun lepas di Padang Terap serta merampas bahan terlarang disyaki syabu bernilai lebih RM700,000.

Menurut Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh, polis turut menahan sembilan suspek berusia 25 hingga 52 tahun di sekitar Kuala Nerang dalam operasi bermula 4 dan 6 April lepas.

“Operasi pertama pada pukul 10.30 malam oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Padang Terap berjaya menahan seorang lelaki di sebuah rumah di Kampung Lamdin, Naka.

“Hasil pemeriksaan ke atas beg digalas suspek berusia 52 tahun menemukan sejumlah bungkusan plastik mengandungi dadah disyaki syabu seberat 18 kilogram (kg). Suspek seorang lelaki Siam tempatan yang bekerja sebagai penoreh,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Fisol berkata, nilai rampasan dalam operasi pertama itu berjumlah RM651,000 sebelum polis menahan lapan anggota sindiket lain di dua lokasi berbeza.

“Tangkapan kedua pada hari sama di sebuah rumah di Naka menahan enam lelaki berusia 26 hingga 39 tahun serta merampas 22 gram syabu dan 130kg daun ketum. Nilai rampasan berjumlah RM7,719,” katanya.

Kata Fisol, tangkapan ketiga pada 6 April melibatkan dua lagi suspek berusia 25 dan 34 tahun di sebuah stesen minyak di Padang Kerasak, Kuala Nerang.

“Dalam operasi pada pukul 6 pagi itu polis turut merampas 2kg syabu berjumlah RM74,160. Ketika operasi suspek bertindak mencampak beg mengandungi syabu tersebut dan cuba melarikan diri namun berjaya ditahan,” katanya.

Tambahnya, dadah berkenaan jika terlepas boleh dibekalkan kepada lebih 40,000 penagih. 

“Kita tidak menafikan Padang Terap yang terletak berdekatan dengan sempadan Thailand serta bentuk muka buminya walaupun banyak kawasan kampung namun menjadi tumpuan sindiket pengedaran,” katanya.

Ujarnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN