Polis perjelas kenapa tidak terus tembak suspek di KLIA

Polis perjelas kenapa tidak terus tembak suspek di KLIA

HUSSEIN Omar Khan (tengah) ketika hadir Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah KLIA di IPD KLIA. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Tindakan pihak polis yang tidak bertindak terus melepaskan tembakan ke arah suspek di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bukanlah perkara disengajakan.

Sebaliknya menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, anggota bertugas telah mengambil pelbagai faktor termasuk situasi sekeliling yang ada ramai orang awam.

“Saya tahu ramai tanya kenapa kita tidak tembak suspek di situ tetapi kawasan itu sesak dan ada kanak-kanak,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah KLIA.

Awal pagi semalam, seorang lelaki nekad cuba menembak isterinya dari jarak dekat di balai ketibaan Terminal 1 KLIA namun tersasar dan mengenai pengawal peribadi mangsa.

Suspek, Hafizul Harawi, 38, berjaya melarikan dirinya dengan sebuah kereta dan kes itu disiasat pihak polis mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Mengulas lanjut, Hussein menambah bahawa pihak polis tidak boleh sesuka hati bertindak menembak terus penjenayah bersenjata api terutama di kawasan padat dengan orang.

“Pendekatan kita ketika itu, adalah lebih baik suspek dikeluarkan dahulu dari kawasan itu dan kita pula menyelamatkan nyawa orang awam agar situasi kembali normal,” tegasnya.

Ditanya perkembangan terbaharu kes itu, beliau memaklumkan yang setakat ini seramai 11 individu telah dirakamkan keterangan mereka termasuk saksi berada di lokasi kejadian.

Walau bagaimanapun, pihaknya akan memanggil lagi beberapa saksi yang terlibat dalam urusan perniagaan dengan mangsa dan suspek itu untuk membantu proses penyiasatan.

Beliau namun optimis Hafizul masih lagi dipercayai berada dalam negara dan bersenjata serta mengesahkan bahawa pada ketika ini hanya ada seorang suspek yang dikenal pasti.

Justeru, beliau menafikan konon ada ramai suspek terlibat dan perkara itu turut diakui oleh mangsa selain pengecaman wajah identiti menerusi banyak kamera litar tertutup di KLIA.

Hussein juga mengesahkan bahawa suspek buat masa ini dipercayai cuma bergerak solo tanpa bantuan sesiapa dan menyeru lelaki berkenaan agar segera menyerahkan dirinya.

“Keadaan pengawal peribadi mangsa yang cedera itu pula difahamkan adalah stabil tetapi belum lagi pulih sepenuhnya dan masih menerima rawatan lanjut di hospital,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN