KUALA TERENGGANU: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Terengganu meletakkan sasaran pertambahan jumlah ahli berdaftar kepada lebih 100,000 orang sebelum penghujung 2025.
Ketua Cabang PKR Kuala Terengganu, Azan Ismail berkata, jumlah berkenaan tidak mustahil dicapai meskipun bilangan ahli parti di negeri itu hanya sekitar 20,000 orang pada masa ini.
Menurut beliau, lebih 300,000 individu di Terengganu didapati tidak berdaftar dengan mana-mana parti politik dan PKR menyasarkan satu pertiga daripada jumlah itu boleh didekati.
Azan menjelaskan, pertambahan bilangan ahli PKR amat penting bagi mengukuhkan kepercayaan terhadap kepimpinan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Jika dikaji, PKR Terengganu adalah kedua tercorot di seluruh negara dengan hanya 20,000 orang ahli dan memang kita jauh ketinggalan dengan parti lain iaitu Pas dan UMNO di sini.
“Namun hasil penelitian hanya 41 peratus pengundi berdaftar sebagai ahli parti politik manakala selebihnya mungkin tidak berminat dan kita akan mendekati atau cuba memahami kehendak mereka.
“Ketua-ketua cabang, wanita dan pemuda Keadilan sudah memulakan gerak kerja bagi menarik penyertaan 100,000 lagi ahli baharu pada tahun ini,” katanya pada Majlis Agihan Bakul Ihsan Madani di sini, hari ini.
Pada majlis tersebut, 800 bakul berisi barang keperluan asas seperti beras, minyak masak, susu dan gula sumbangan Yayasan Madani diserahkan kepada golongan memerlukan dari seluruh negeri.
Azan yang juga Pengerusi Yayasan Madani Terengganu berkata, penubuhan yayasan itu sejak bulan lalu juga boleh membantu PKR mencapai hasrat menambah bilangan ahli di Terengganu.
Ujarnya, Yayasan Madani dipengerusikan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh, ditubuhkan bertujuan menyalurkan bantuan secara terus kepada rakyat.
“Yayasan Madani juga adalah ilham Perdana Menteri yang ingin merealisasikan hasrat membantu serta menghulurkan bantuan segera kepada golongan memerlukan tanpa pilih kasih.
“Di Terengganu kita akan memanfaatkan yayasan ini untuk mendekati dan memenangi hati rakyat seterusnya menarik minat mereka untuk mendaftar sebagai ahli PKR,” tambah Azan. – UTUSAN