Pimpinan UMNO dan DAP menghadap Agong, seru perpaduan - Utusan Malaysia

Pimpinan UMNO dan DAP menghadap Agong, seru perpaduan

SULTAN IBRAHIM berkenan menerima menghadap pemimpin UMNO dan DAP di Istana Negara.-FACEBOOK SULTAN IBRAHIM SULTAN ISKANDAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menerima menghadap pimpinan kanan parti UMNO dan DAP di Istana Negara, hari ini.

Pemimpin yang hadir menghadap Seri Paduka ialah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh dan Timbalan Setiausaha Agung DAP, Liew Chin Tong serta Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh.

Sesi menghadap bersama Seri Paduka bertumpu kepada perkembangan semasa berkaitan isu-isu sensitiviti agama dan kaum.

“Saya ingin menasihati semua pihak memberi tumpuan untuk mengajak rakyat ke arah perpaduan, bukannya perpecahan. Saya ingin melihat rakyat bersatu padu dengan harmoni.

“Saya berharap pemimpin politik tidak ekstrim dalam memberikan pandangan tentang isu-isu agama dan perkauman. Bukan hanya UMNO dan DAP, tetapi semua parti.

“Pemimpin mesti menjadi jambatan atau penghubung antara rakyat majmuk negara kita dengan contoh perilaku yang matang,” titah Sultan Ibrahim menerusi satu hantaran Facebook Seri Paduka.

Titah Sultan Ibrahim, kejadian baru-baru ini sepatutnya membuka mata semua pihak bahawa semua lapisan rakyat mempunyai tanggungjawab menjaga perpaduan negara.

“Perpaduan yang jitu dalam kalangan rakyat akan menjadi pemangkin kepada kesejahteraan sejagat Malaysia.

“Menjelang Hari Raya yang mulia ini, bermaaf-maafanlah antara satu sama lain dan buka lembaran baharu,” titah Seri Paduka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN