PH belum bincang calon DUN Kuala Kubu Bharu

PH belum bincang calon DUN Kuala Kubu Bharu

ANWAR Ibrahim beramah mesra bersama tetamu yang hadir pada Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri dan solat Jumaat di Masjid Bandar Utama Batang Kali, Selangor, semalam. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATANG KALI: Pakatan Harapan (PH) belum membincangkan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu pada 11 Mei ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi PH berkata, beliau belum membincangkan soal calon PH pada PRK tersebut dengan sesiapa setakat ini.

“Saya datang ke sini (Masjid Bandar Utama Batang Kali) untuk bersembahyang (Jumaat) dan (sambutan) hari raya.

“Saya belum berbincang dengan sesiapa mengenai perkara itu (calon PRK DUN Kuala Kubu Bharu),” katanya kepada pemberita ketika ditemui semalam.

Kerusi DUN Kuala Kubu Baharu kosong susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong pada 21 Mac lalu.

Kee Hiong, 58, yang menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Baharu di bawah Parlimen Hulu Selangor sejak 2013, meninggal dunia selepas bergelut melawan kanser sejak beberapa tahun lalu.

PRK Kuala Kubu Baharu merupakan PRK ketujuh yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 2022.

Daftar Pemilih Pilihan Raya bagi PRK Kuala Kubu Baharu adalah sebanyak 40,226 orang terdiri daripada 39,362 pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang pengundi tidak hadir luar negara.

Sementara itu, Perdana Menteri yang tiba pukul 12.30 tengah hari di pekarangan Masjid Bandar Utama Batang Kali di sini, meluangkan masa bermesra bersama penduduk setempat bagi menyambut sambutan Hari Raya Aidilfitri sebelum menunaikan solat Jumaat.

Ratusan penduduk membanjiri sambutan hari raya yang dianjurkan selain mengambil kesempatan bertemu Perdana Menteri secara dekat di sini.

Sebaik selesai solat Jumaat, Anwar meluangkan masa bersalaman dengan jemaah dan orang ramai yang hadir sebelum meninggalkan pekarangan masjid sekitar pukul 2.30 petang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN