Petronas menang hadiah utama Anugerah Harta Intelek Negara

Petronas menang hadiah utama Anugerah Harta Intelek Negara

Armizan Mohd. Ali (tengah) bersama pasukan daripada Petronas yang memenangi Anugerah Platinum (Pembangunan Lestari Harta Intelek) pada majlis Anugerah Harta Intelek Negara 2024 di Menara MyIPO, PJ Sentral, Petaling Jaya, semalam. – UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) dipilih sebagai pemenang hadiah utama Anugerah Harta Intelek Negara 2024 anjuran Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dalam majlis yang berlangsung di sini semalam,

Anugerah Platinum di bawah kategori Pembangunan Lestari Harta Intelek itu membolehkan Petronas membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000 beserta piala pusingan dan sijil penghargaan.

Anugerah Harta Intelek Negara 2024 yang diadakan sempena sambutan Hari Harta Intelek Negara (HHIN) itu bertujuan .mengiktiraf pencapaian cemerlang rakyat Malaysia dalam penghasilan harta intelek yang memberi manfaat kepada orang ramai dan negara secara keseluruhannya.

Bertemakan “Harta Intelek Nadi Malaysia Madani”, sambutan HHIN tahun ini menekankan kepentingan melindungi harta intelek sebagai asas kepada pembangunan negara yang berbudaya dan inovatif.

Pengiktirafan ini diberikan kepada pencipta dan pereka cipta terbaik serta organisasi yang berperanan dalam bidang harta intelek.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNHEP), Datuk Armizan Ali berkata, sebanyak 260 penyertaan telah diterima dengan Anugerah Platinum di bawah kategori Pembangunan Lestari Harta Intelek merupakan anugerah tertinggi dengan hadiah berjumlah RM30,000.

“Anugerah Teknologi Hijau, Anugerah Karya Lestari, Anugerah Milenial, dan Anugerah Permata turut memberi pengiktirafan kepada harta intelek yang menonjol dalam aspek teknologi hijau, kelestarian inovasi, kreativiti, dan nilai komersial,” katanya.

Armizan Mohd. Ali (kanan) melawat tapak pameran sempena sambutan Hari Harta Intelek Negara 2024 di Menara MyIPO, PJ Sentral, Petaling Jaya, semalam.

Sementara itu, Anugerah Karya Lestari, dimenangi oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dengan hadiah berjumlah RM10,000 piala AHIN dan sijil penghargaan.

Wakil pasukan TLDM, Leftenan Komander Ts. Chan Jun Shen berkata, pasukannya mengambil masa hampir dua tahun untuk melengkapkan inovasi itu yang diilhamkan daripada kejadian sebenar semasa kapal dagang MT Bunga Laurel cuba ditawan oleh lanun Somalia di Teluk Aden.

“Pada masa itu kita kekurangan peralatan dan keupayaan optik agak terhad tetapi pesawat kami yang terlibat dalam operasi tersebut mempunyai ‘night vision goggle,’.

“Keupayaan ‘night vision goggle’ tanpa alat bantuan optik menyebabkan keberkesanan itu kurang jadi kami mencari satu ilham penyelesaian untuk mencipta compact tactical light,” katanya.

Menurut Jun Shen, inovasi ini mampu memancarkan dua spektrum, iaitu spektrum halimunan dan spektrum normal.

“Spektrum ini digunakan untuk menanda aset-aset sahabat dan kami boleh lihat lokasi pasukan sahabat kami,” jelasnya.

Untuk kategori Anugerah Milenial, jatuh kepada Politeknik Sandakan Sabah dengan hadiah berjumlah RM6,000 beserta piala AHIN dan sijil penghargaan.

Menurut Pensyarah Diploma Akuakultur Politeknik Sandakan Sabah, Azhar Ambo, dia tidak menyangka pasukannya itu berjaya memenangi anugerah yang dipertandingkan.

“Saya tidak menjangkakan untuk berada di tahap ini, tapi dengan pengumuman tadi, saya bersyukur dan sangat berpuas hati dengan usaha yang telah diberikan,” katanya.

Lebih menggembirakan, sempena sambutan HHIN2024 kali ini, MyIPO turut menawarkan pengecualian fi bagi Perkhidmatan Pendapat dan Carian Awal (PCA) bagi cap dagangan untuk tempoh sebulan bermula dari Rabu sehingga 23 Mei 2024.

Katanya keputusan itu dibuat bagi menggalakkan lebih banyak pendaftaran cap dagangan serta memberi peluang kepada lebih ramai usahawan untuk melindungi hak harta intelek mereka.

Setakat ini MyIpo telah menerima sebanyak 61,600 permohonan harta intelek berbanding 59,699 dalam tempoh yang sama pada tahun 2022.

Daripada jumlah tersebut, 21,490 permohonan adalah permohonan harta intelek tempatan dengan peningkatan sebanyak 7.8 peratus berbanding tahun sebelumnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN