Perumahan untuk generasi muda dibina di Lenggong - Utusan Malaysia

Perumahan untuk generasi muda dibina di Lenggong

SHAMSUL Anuar Nasarah (tengah) bersama anak muda yang menghadiri jamuan berbuka puasa di KKTM Lenggong hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LENGGONG: Perumahan Generasi Muda Lenggong melibatkan pembinaan 600 unit rumah pelbagai kategori akan dibina di kawasan DUN Kenering di sini.

Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah yang mengumumkan perkara itu berkata, perumahan tersebut  dibina di kawasan seluas 57.5 ekar berhampiran MRSM Gerik merangkumi pembinaan rumah kedai, kawasan permainan, dewan dan kawasan rekreasi.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri berkata, projek tersebut sudah diluluskan Lembaga Perumahan Perak yang dipengerusikan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

“Kita memahami keinginan generasi muda di kawasan Parlimen Lenggong. Ia akan dijual pada harga mampu milik selain 50 unit rumah disediakan untuk mereka yang kurang berkemampuan.

“Kawasan Perumahan Generasi Muda Lenggong di Mukim Kenering ini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan awam.

“Selain itu, PPR Kampung Chain, Lenggong yang terbengkalai akan diteruskan walaupun jumlah unit rumah hanya akan melibatkan 150 buah sahaja.

“Saya harap ini akan membantu menyediakan perumahan kepada generasi muda di kawasan Parlimen Lenggong,” katanya.

Beliau berucap pada majlis berbuka puasa bersama generasi muda Lenggong di Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Lenggong di sini hari ini.

Jamuan berbuka puasa tersebut dihadiri lebih 1,000 anak muda terdiri daripada persatuan, kelab dan NGO, Pemuda dan Puteri UMNO Lenggong serta pelbagai kumpulan anak muda termasuk anak muda perantauan yang balik bercuti Aidilfitri.

Majlis dianjurkan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong dengan kerjasama pelbagai pihak.

Shamsul Anuar berkata, kehadiran anak muda yang ramai pada jamuan tersebut melambangkan kesepakatan untuk membangunkan kawasan Parlimen Lenggong. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN