Perlis harap dapat peruntukan lebih daripada kerajaan Persekutuan - Utusan Malaysia

Perlis harap dapat peruntukan lebih daripada kerajaan Persekutuan

MOHD. Shukri Ramli (tiga dari kanan) membuat gimik pelepasan sebagai simbolik bagi Pelancaran Op Selamat 22 Hari Raya Aidilfitri Tahun 2024 di Stesen Minyak BHP Ulu Pauh, Arau, Perlis, hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Kerajaan negeri mengharapkan peruntukan lebih daripada kerajaan Persekutuan susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menyalurkan tambahan peruntukan buat negeri-negeri berbanding tahun lalu.

Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, harapan tersebut adalah berikutan Perlis merupakan sebuah negeri yang bersempadan dengan Thailand dan memerlukan peruntukan yang mencukupi.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga sememangnya terbuka untuk meneruskan kerjasama baik sedia ada yang terjalin bersama kerajaan Persekutuan pada ketika ini.

“Terima kasih kepada Perdana Menteri kerana menambah peruntukan buat negeri-negeri dan kita harap Perlis negeri yang bersempadanan dengan Thailand akan mendapat peruntukan lebih,” katanya selepas Majlis Pelancaran Op Selamat 22 Hari Raya Aidilfitri Tahun 2024 di Stesen Minyak BHP Ulu Pauh, di sini, semalam.

Utusan Malaysia pada Jumaat lalu melaporkan kerajaan Persekutuan bersetuju menambah baik peruntukan pemberian serta sokongan kepada negeri-negeri sekitar RM8.9 bilion pada tahun ini membabitkan penambahan RM600 juta berbanding tahun lalu.

Anwar berkata, kerajaan Persekutuan komited untuk bekerjasama dengan semua kerajaan negeri dalam usaha memajukan pembangunan negara secara terangkum.

Dalam perkembangan berlainan, Mohd. Shukri berkata, buat masa ini, kerajaan negeri juga sedang dalam peringkat akhir bagi menanti kelulusan daripada kerajaan Persekutuan untuk mendapatkan peruntukan dalam mengatasi isu paip air bocor dan uzur sekitar Perlis.

Katanya, kerajaan negeri sebelum ini memohon sebanyak RM380 juta namun jumlah yang bakal diluluskan oleh kerajaan Persekutuan itu masih belum dapat dipastikan buat masa ini.

“Negeri-negeri yang mengalami kadar air tak berhasil (NRW) lebih 50 peratus akan mendapat peruntukan khas daripada kerajaan Persekutuan untuk menukar dan membaik pulih paip-paip uzur ini.

“Perlis NRW adalah 62 peratus dan paling tinggi , jadi keperluan itu adalah sangat diperlukan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN