SHAH ALAM: Malaysia akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan isu ketegangan yang memuncak di Asia Barat susulan peperangan antara Iran dan Israel.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, serangan ke atas kedutaan Iran itu jelas melanggar undang-undang antarabangsa.
Jelas beliau, pelanggaran kebiasaannya akan mengundang kepada sesuatu tindak balas.
“Jadi, saya akan mengadakan mesyuarat khas jam 6 petang ini dengan berbincang dengan beberapa menteri.
“Ia bertujuan merangka beberapa langkah segera yang patut diambil untuk meredakan keadaan termasuk penghantaran pulang rakyat Malaysia di negara itu,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Konvensyen Antarabangsa Dr. Ambedkar ke-55 dan Jamuan Hari Raya Aidilfitri di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini, petang ini.
Terdahulu, agensi berita Reuters melaporkan Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRG) melancarkan ratusan dron dan peluru berpandu ke Israel semalam.
Letupan kedengaran di beberapa kawasan di Israel hari ini apabila pertahanan udara memintas dron dan misil dari Iran.
Siren roket dan letupan kuat kedengaran di selatan Israel, termasuk Eilat, Beersheba, Dimona, Nevatim dan kawasan-kawasan lain.
Serangan itu mungkin mencetuskan pertempuran besar antara musuh ketat serantau, dengan Amerika Syarikat (AS) berikrar untuk menyokong Israel.
Mengulas lanjut, kata Anwar, Malaysia menuntut peringkat antarabangsa supaya dapat menjamin penyelesaian dan kedamaian di Timur Tengah.
“Ini kerana apa yang berlaku di sana akan menjejaskan keamanan dan ekonomi dunia,” ujarnya.
Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof meminta rakyat Malaysia menangguhkan perjalanan ke Iran dan negara-negara berdekatan susulan ketegangan itu.
Wisma Putra sedang memantau perkembangan terkini dan memutuskan langkah perlu bagi memastikan keselamatan rakyat negara ini yang berada di rantau tersebut.-UTUSAN