PETALING JAYA: Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, menasihatkan pemuzik di negara ini agar cakna tentang hal ehwal perundangan membabitkan hak dan perlindungan terhadap kerja-kerja seni yang mereka hasilkan.
Katanya, perkara itu penting bagi memastikan golongan tersebut maklum dan jelas tentang hak pemilikan naskhah dan karya mereka.
“Masalah utama adalah tahap kefahaman penggiat muzik terhadap aspek perundangan membabitkan hak cipta dan perlindungan kerja seni yang masih rendah dalam kalangan penggiat seni termasuk pemuzik di negara ini.
“Contoh usaha pihak kementerian untuk bantu komposer, Ross Ariffin berdepan jalan sukar apabila beliau sebenarnya masih terikat dengan sebuah label untuk satu tempoh yang lama. Beliau pun tak jelas tentang haknya sebagai anak seni.
“Saya yakin ramai yang seperti Ross. Mereka tak jelas tentang apa status dari segi perundangan membabitkan kerja ni yang mereka hasilkan,” katanya.
Fahmi berkata demikian di Majlis Apresiasi Pengamal Media baru-baru ini. Beliau menjelaskan kekangan dalam menangani permasalahan berkaitan isu pembayaran royalti membabitkan penggiat seni di negara ini.
Dalam pada itu, Fahmi memaklumkan pihaknya terbuka untuk terus melakukan perbincangan bagi mencari jalan penyelesaian kepada sebarang isu berhubung perkara itu.
“Saya ada membincangkan perkara ini dalam banyak pertemuan dengan pihak-pihak berkaitan termasuk Pengerusi MACP, Datuk M. Nasir dan Pengerusi Recording Performers Malaysia (RPM), Datuk Sheila Majid. Ternyata ia isu yang rumit untuk dikendalikan.
“Isu royalti ini dikendalikan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) manakala sebahagian pula dibawah kendalian Kementerian Komunikasi. Namun saluran kutipan itu adalah di bawah bidang kuasa KPDN.
“Oleh itu saya terus terbuka untuk membincangkan isu berkaitan bayaran royalti sama ada dengan badan pengutip mahupun Persatuan Karyawan Malaysia untuk mendapatkan gambaran lebih jelas tentang apa yang berlaku,” kongsinya.