KUANTAN: Seorang ibu tunggal buntu memikirkan nasibnya selepas perlu mencari wang RM5,000 bagi membolehkan anaknya menjalani pembedahan akibat retak tumit.
Noriah Awang, 60, berkata, tumit anaknya Muhammad Hafizzudin Muhammad, 22, retak selepas terlibat dalam kemalangan motosikal pada awal bulan Mac.
Katanya pembedahan memasang empat batang skru ke dalam tulang tumit anaknya itu perlu dilakukan bagi memulihkan kembali struktur tulang anaknya yang patah.
“Saya hanya menjual kuih dan peroleh pendapatan bersih sekitar RM30 hingga RM50 sehari. Mana mungkin saya dapat kumpulkan wang RM5,000 dalam masa singkat,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Seberang Balok.
Noriah berkata, anak keempat daripada enam beradik itu cedera akibat terlanggar lubang ketika membonceng motosikal selepas pulang dari menggali kubur.
Disebabkan itu, anaknya yang bekerja sebagai pembantu bengkel tidak dapat berjalan dan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).
Menurut Noriah lagi, pemeriksaan doktor pakar mendapati Muhammad Hafizzudin mengalami keretakan tumit dan perlu menjalani pembedahan segera dan harga setiap skru sekitar RM900.
“Anak saya masih menunggu masa untuk membuat pembedahan dan setakat ini wang terkumpul dari sumbangan orang ramai hampir RM3,000,” katanya.
Orang ramai boleh menghulurkan derma menerusi akaun Maybank bernombor 156094520716 atas nama Norizatul Akmar Muhammad. – UTUSAN