Pembonceng maut, motosikal rempuh kereta masuk simpang - Utusan Malaysia

Pembonceng maut, motosikal rempuh kereta masuk simpang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Seorang pembonceng maut apabila motosikal dinaiki bersama rakannya merempuh sebuah kereta yang sedang membelok di simpang Kampung Charok Jernih, Jalan Binjul Luar, di Tawar, kira-kira pukul 6.11 petang semalam.

Mangsa, Mohd. Zharif Ismail, 31, beralamat dari Kampung Charok Sikin, di sini disahkan maut di tempat kejadian manakala rakannya, Ahmad Sidiq Daud, 31, dari Kampung Seberang Ketil cedera di bahagian tangan kiri dan kedua-dua belah kaki.

Ketua Polis Daerah Baling, Superitenden Shamsudin Mamat berkata, kedua-dua mangsa menaiki motosikal jenis Honda RS-X datang dari arah Kupang menghala ke Kuala Ketil.

“Kereta Proton Saga dipandu seorang warga emas lelaki berusia 81 tahun datang dari arah bertentangan menghala balik ke rumahnya di Kampung Binjul Luar.

“Mangsa tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian hadapan sebelah kanan kereta terbabit. Penunggang motosikal terjatuh di bahu jalan sebelah kiri dan pembonceng melambung lalu terjatuh di atas jalan,” katanya.

Shamsudin berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada pemandu kereta yang cuai memasuki simpang. 

Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN