KUALA LUMPUR: Pelakon meningkat naik, Alya Iman, menyifatkan pelakon yang terjebak dengan cinta lokasi sebagai tidak profesional.
Menurut Alya atau Nur Alya Iman Azmil, 23, tidak wajar bagi mana-mana pelakon mencampuradukkan hal peribadi membabitkan hati dan perasaan lebih-lebih lagi ketika menjayakan sesebuah drama atau filem.
“Bagi saya cinta lokasi tidak profesional kerana dia menggunakan perasaan sebenar untuk mendapatkan seseorang yang dia suka.
“Itu tandanya dia bukan seorang pelakon yang baik. Bagi saya lakonan adalah karier, saya tidak mahu ambil risiko.
“Namun jika mereka memang jumpa jodoh dan rancang berkahwin, saya okay. Kalau sekadar dapatkan seseorang dengan niat salah, saya tidak setuju,” katanya.
Alya ditemui di Sidang media drama Viu original, Anggun Mikayla, baru-baru ini.
Bergandingan dengan pelakon, Nabil Aqil untuk projek terbaharu, Alya bersyukur kerana masing-masing boleh memberikan komitmen yang baik walaupun masih menjaga batas sebagai kawan.
“Sebelum ini kami memang sudah kenal dan terlibat dalam satu projek pada tahun 2021.
“Saya tidak mahu terlibat dengan cinta lokasi kerana enggan menjejaskan persahabatan. Lagi pula saya sudah mempunyai teman lelaki,” katanya.
Manakala bagi Nabil, dia mengakui teruja bergandingan dengan sahabat sendiri untuk siri Anggun Mikayla.
“Pengalaman kali kedua bekerjasama dengan Alya memang menyeronokkan, lebih-lebih lagi dapat bekerja dengan kawan sendiri yang kita tahu dia seorang yang ‘gila-gila’.
“Alhamdulillah sesi penggambaran berjalan dengan lancar dan sangat mudah. Kami pun sudah tahu apa yang perlu dibuat ketika di set penggambaran tanpa perlu mengambil waktu yang lama untuk latihan,” katanya.
Anggun Mikayla menceritakan kisah seorang gadis yang dibuang oleh ibu kandungnya sendiri. Dalam perjalanan mengenal makna keluarga, Mikayla menjadi rebutan dua jejaka kacak iaitu Asif dan Idris.
Drama tersebut adalah adaptasi novel karya Liza Nur dan ditayangkan sepanjang 13 episod di platform penstriman Viu.