PUTRAJAYA: Kumpulan pelabur luar menunjukkan minat yang tinggi untuk memahami asas dan potensi ekonomi Malaysia.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, perkembangan itu diperoleh ketika beliau menghadiri Mesyuarat Bersama Pelabur di New York bersempena Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang berlangsung sejak semalam hingga esok.
Ini diikuti Mesyuarat Kumpulan Bank Dunia (WBG) 2024 di Washington D.C., Amerika Syarikat dari 17 hingga 19 April ini.
“Pelabur menunjukkan minat yang tinggi untuk memahami asas dan potensi ekonomi Malaysia serta kemajuan melaksanakan agenda pembaharuan Ekonomi Madani.
“Keyakinan pelaburan lebih kukuh ekoran pembaharuan fiskal yang telah dilaksanakan kerajaan termasuk mengurangkan defisit, Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal serta penyasaran subsidi seperti elektrik dan air,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Kementerian Kewangan (MOF), mesyuarat dan sesi dialog bersama pelabur kewangan dan pasaran modal ini diadakan untuk memberi penerangan mengenai kedudukan semasa ekonomi.
Ini termasuk perancangan kerajaan untuk terus mengukuhkan kewangan negara serta memudahcarakan pelaburan.
Katanya, pertemuan bersama pelabur antarabangsa seperti pengurus dana dan bank pelaburan ini juga akan menjelaskan hala tuju pelaksanaan kerangka Ekonomi Madani.
Amir Hamzah turut mengadakan sesi libat urus dengan para pelabur yang dijadualkan di New York esok dan dijangka bertemu dengan seramai 50 pelabur global pelbagai bidang industri dan perniagaan Amerika Syarikat.
“Sesi libat urus ini adalah penting bagi memberi penjelasan mengenai perkembangan dasar-dasar utama kerajaan termasuk pembaharuan fiskal untuk memastikan kemampanan fiskal dan hutang negara,” katanya. – UTUSAN