Pecat sahaja tidak perlu PRK - Utusan Malaysia

Pecat sahaja tidak perlu PRK

FATHUL Bari Mat Jahya bersama sayap-sayap serta cawangan UMNO Kangar menyampaikan ucapan raya pada majlis iftar dan rakaman takbir raya di Dewan Warisan, Kangar, Perlis semalam.-UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Perikatan Nasional (PN) atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan kelihatan lebih berprinsip dengan memecat sahaja enam ahli Parlimen dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada menuntut pengosongan kerusi dan diadakan Pilihan Raya
Kecil (PRK).

PRK hanya akan menyebabkan pembaziran duit rakyat bagi menampung kos pilihan raya berkenaan khususnya membabitkan kawasan Parlimen yang dianggarkan hampir RM30 juta.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya berkata, apa yang paling penting pada masa ini adalah berkaitan soal rakyat dan pembangunan negara yang sepatutnya diberikan perhatian.

Ujarnya, kos bagi mengadakan pilihan raya di peringkat Parlimen sahaja menelan belanja RM4.5 juta dan jika enam Parlimen dianggarkan hampir RM30 juta dan jumlah tersebut tidak
termasuk lagi di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Yang penting kini soal rakyat, berapa kali mahu diadakan pilihan raya ini. Negara akan berhadapan kerugian yang besar jika diadakan PRK ini di mana kosnya adalah cukup tinggi.

“Selain kos, ia turut melibatkan pelbagai perkara lain lagi seperti tenaga, masa. Sekarang ahli Parlimen sepatutnya membincangkan soal pembangunan negara bukan berkaitan PRK ini.
Pecat sahaja dan biarkan mereka tentukan parti mana selepas ini yang akan dipilih,” katanya.

Bersatu kini dilihat berusaha mengosongkan kerusi tujuh wakil rakyatnya termasuk ADUN yang
mengalihkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) meluluskan pindaan perlembagaan parti berkenaan.

Pindaan itu berhubung pelucutan serta-merta keanggotaan wakil rakyat Bersatu jika menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak bertentangan dengan arahan atau pendirian parti.

Hal ini kerana, Bersatu mendakwa keahlian tujuh wakil rakyatnya terlucut secara automatik susulan kelulusan pindaan Perlembagaan parti itu.

Ahli Parlimen terbabit ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd. Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr. Suhaili
Abdul Rahman (Labuan). – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN