Paras Empangan Air Itam makin menurun, catat tahap ketiga kritikal

Paras Empangan Air Itam makin menurun, catat tahap ketiga kritikal

PBAPP kini sedang berusaha untuk meminimumkan pengeluaran air dari Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang kerana berdasarkan situasi semasa, penggunaan air di kedua-dua empangan itu lebih tinggi berbanding taburan hujan di Pulau Pinang ketika ini.-UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Hujan lebat yang turun di beberapa kawasan di negeri ini tidak membantu meningkatkan paras Empangan Air Itam yang kini mencatat tahap ketiga kritikal iaitu pada kapasiti 30.8 peratus.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, ini kerana hujan berkenaan tidak turun di kawasan tadahan air Empangan Air Itam, sebaliknya, ia turun di kawasan lain di negeri ini.

“Paras empangan berkenaan juga menurun kerana air daripada Empangan Air Itam turut diekstrak pada minggu ini bagi menampung permintaan pengguna yang tinggi pada musim perayaan ini.

“Setakat hari ini, paras Empangan Air Itam adalah pada paras 30.8 peratus iaitu tahap ketiga kritikal dan ia mampu bertahan sehingga 30 hari lagi,” katanya selepas menghadiri Karnival Raya Aidilfitri anjuran Ahli Parlimen Bukit Bendera, di sini hari ini.

CHOW Kon Yeow (dua dari kanan) menyerahkan duit raya kepada kanak-kanak yang menghadiri Karnival Raya Aidilfitri anjuran Ahli Parlimen Bukit Bendera, di George Town, Pulau Pinang

Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) pada Februari lalu memaklumkan bahawa kapasiti efektif Empangan Air Itam berada pada paras 32.4 peratus.

Justeru, dalam mengekalkan kapasiti efektif empangan sehingga menjelang musim hujan, PBAPP melaksanakan Pelan Tindakan Empangan Air Itam (AIDAP) 2024 yang melibatkan empat langkah kontingensi termasuklah meminimumkan pelepasan air mentah dari Empangan Air Itam ke Loji Rawatan Air (LRA) daripada 75 juta liter sehari (JLH) kepada 11 JLH.

Pada masa yang sama, PBAPP turut mengoptimumkan pengambilan air mentah dari muka sauk utama bagi mengurangkan penghasilan air terawat di LRA Air Itam pada 66 peratus dan mengepam 33 JLH dari LRA Sungai Dua ke LRA Air Itam serta menggantikan kekurangan 33 JLH dalam aliran keluar air terawat LRA Air Itam.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, setakat April ini, jumlah taburan hujan yang diterima adalah pada kadar 22.5 milimeter (mm) sahaja berbanding lingkungan 300mm pada sebelum ini.

“Tandanya ia (taburan hujan) masih rendah lagi. Jadi, Pelan Tindakan Empangan Air Itam 2024 (AIDAP 2024) bagi mengekalkan kapasiti efektif di Empangan Air Itam diteruskan bagi mengekalkan paras empangan sehingga mencapai kadar yang selesa,” katanya.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, operasi pembenihan awan juga tidak dapat memastikan hujan turun di kawasan tadahan air Empangan Air Itam dan seterusnya membantu meningkatkan paras empangan itu.

“Ini kerana, kita tidak ada kawalan di mana hujan akan turun. Ada hujan turun tetapi ia bukan di kawasan tadahan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN