Orang ramai diminta elakkan aktiviti laluan berisiko binatang liar

Orang ramai diminta elakkan aktiviti laluan berisiko binatang liar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Orang ramai dinasihatkan agar tidak melakukan aktiviti di kawasan yang berisiko laluan gajah liar bagi mengelak diserang binatang terbabit.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, semua pengguna jalan raya perlu peka dengan papan tanda binatang liar yang ada di tepi jalan raya.

Katanya, antara langkah yang boleh dilakukan bagi mengelak serangan gajah adalah dengan tidak berhenti di kawasan tersebut serta segera menjarakkan diri apabila terserempak dengan binatang liar itu.

“Selain itu, usah lakukan provokasi atau cubaan ganggu binatang liar terbabit.

“Kita (Perhilitan) juga telah mengenal pasti beberapa lokasi lintasan gajah di seluruh negara misalnya di Johor iaitu Jalan Kahang-Jemaluang, Jalan Kota Tinggi-Mersing dan Jalan Kluang-Kota Tinggi,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini. 

Menurut beliau, setakat 2022, sebanyak 18 Sistem Pagar Elektrik Gajah (SPEG) dibina sejak  2009 di Semenanjung Malaysia sebagai inisiatif Jabatan Perhilitan untuk pengurusan konflik gajah dan manusia.

Jelasnya, keseluruhan SPEG sepanjang 305.6 kilometer (km) melibatkan kos mencecah RM13.4 juta, bertujuan menghalang gajah daripada memasuki kawasan perkampungan dan ladang-ladang penduduk seterusnya dapat mengurangkan kadar aduan konflik manusia dan gajah.

“Di Semenanjung Malaysia terdapat enam negeri yang menjadi habitat kepada gajah iaitu Kedah, Perak, Pahang, Terengganu, Kelantan dan Johor,” ujarnya.

Kata Abdul Kadir, buat masa ini terdapat tiga pusat konservasi gajah di Semenanjung Malaysia di bawah seliaan Perhilitan iaitu Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Lanchang, Pahang; Pusat Konservasi Gajah Sungai Deka, Hulu Terengganu dan Santuari Gajah Johor di Kota Tinggi, Johor.

Media sebelum ini melaporkan, seorang lelaki berusia 55 tahun patah kaki dan tulang rusuk selepas diserang gajah liar ketika mencari tempat buang air besar berhampiran Tugu Peringatan Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli di Perak, kira-kira 7 malam, Khamis lalu.

Jabatan Perhilitan Perak sebelum itu juga pernah mengingatkan orang ramai yang menggunakan laluan Jalan Raya Timur Barat yang menghubungkan Gerik ke Jeli supaya berhati-hati dengan kehadiran gajah di kawasan berkenaan.- UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN