Op Selamat ke-22: Kematian akibat kemalangan jalan raya menurun - Utusan Malaysia

Op Selamat ke-22: Kematian akibat kemalangan jalan raya menurun

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan kematian akibat kemalangan jalan raya menurun pada hari keempat Op Selamat ke-22 semalam.

Sepanjang tempoh itu, sebanyak 16 kes direkodkan di seluruh negara.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Datuk Mohd Nasri Omar berkata, jumlah itu lebih rendah berbanding 35 kes direkodkan kelmarin.

Menurut beliau, kes kemalangan juga merekodkan penurunan satu kes iaitu 1,288 kes berbanding 1,289 kes kelmarin.

“Jumlah kematian yang meningkat pada hari raya pertama itu berlaku mungkin atas pelbagai faktor termasuk keghairahan orang hendak beraya menyebabkan jalan sesak sehingga berlaku kemalangan.

“Bagaimanapun esok kita jangkakan  mula berlaku kesesakan apabila orang ramai akan mula pulang ke kediaman masing-masing,” katanya ketika dihubungi di sini.

Mohd Nasri berkata, beliau sendiri esok akan ke Gua Musang untuk meninjau aliran trafik di sana berikutan daerah itu dijangka mengalami kesesakan teruk.

“Selain itu di Kuala Selangor juga dijangka mengalami kesesakan bagi mereka yang menggunakan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) kerana di Kuala Selangor terdapat 15 lampu isyarat.

“Bagaimanapun JSPT sudah berbincang dengan PBT bagi membantu melancarkan aliran trafik kerana kawasan itu hanya dua lorong sedangkan kenderaan yang akan masuk beribu,” jelasnya.

Beliau juga menasihati orang ramai merancang perjalanan bagi mengelak berlaku kesesakan.

Op Selamat Ke-22 dengan tema ‘Rumah Selamat, Selamat Sampai Ke Destinasi’ dilancarkan bermula 8 April lalu hingga 13 April ini di seluruh negara sempena Aidilfitri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN