Nilai ringgit jatuh: Ramai rakyat Malaysia cari kerja di Singapura

Nilai ringgit jatuh: Rakyat Malaysia cari kerja di Singapura

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: Kadar pertukaran mata wang yang rendah dan situasi ekonomi tidak menentu mendorong rakyat Malaysia mencari peluang pekerjaan di Singapura.

Perkara itu didedahkan oleh Pengarah Agensi Pengambilan Pekerja Nala Employment, Jim Wee yang merekodkan berlaku kenaikan sebanyak 50 peratus jumlah panggilan bagi talian umum daripada rakyat Malaysia yang mencari pekerjaan.

Di Cultivar Staffing & Search, data dalaman menunjukkan iklan pekerjaan dalam tempoh tiga bulan sebelumnya berjaya menarik sehingga 30 peratus pemohon kerja di Malaysia, berbanding tempoh sama, tahun lalu.

Rakyat Malaysia yang sedang mencari pekerjaan di Singapura, lazimnya mempertimbangkan sektor-sektor termasuk perkhidmatan runcit dan makanan, pengilangan, kejuruteraan, perindustrian, teknologi serta jagaan kesihatan.

Selain turun naik nilai mata wang dan ekonomi, perekrut pekerjaan berkata, Singapura sering menjadi ‘pilihan pertama’ rakyat Malaysia untuk bekerja di luar negara.

Terutamanya bagi mereka yang tinggal di Johor Bahru disebabkan oleh kemudahan perjalanan rentas sempadan, ekonomi yang kukuh, gaji yang lebih lumayan, peluang pekerjaan dan persekitaran kerja lebih baik.

Tahun lalu, jumlah pengambilan pekerja di Singapura meningkat sebanyak 88,400 dengan 83,500 daripada pekerjaan itu diberikan kepada pekerja bukan penduduk tempatan terutamanya dalam sektor pembinaan dan pengilangan, berdasarkan laporan pasaran buruh terkini Kementerian Tenaga Manusia (MOM) yang dikeluarkan pada Mac.

Ringgit Malaysia semakin menyusut sejak 2023 dan Februari lalu, ia jatuh ke paras terendah sejak Krisis Kewangan Asia pada hujung 1990-an, merosot ke paras melepasi 4.8 berbanding dolar Amerika.

Ia mengukuh sedikit kepada 4.778 pada 15 April, dan diperdagangkan pada kadar 3.513 berbanding dolar Singapura.

Malaysia juga mencatatkan kadar inflasi 1.8 peratus Februari lalu, berbanding tempoh sama setahun lalu bagi tiga bulan berturut-turut sejak November tahun lalu.

Perangkaan akhir pada Februari lalu melepasi ramalan 1.4 peratus yang diunjurkan oleh 13 ahli ekonomi dalam tinjauan Reuters, baru-baru ini. -CNA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya