NGO Antarabangsa serah sumbangan Aidilfitri di Kemboja

NGO Antarabangsa serah sumbangan Aidilfitri di Kemboja

Mustapha Ahmad Marican (dua dari kiri) menyampaikan bantuan kepada anak yatim di Kampung Parahdau, sempadan Kemboja dan Vietnam hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMBOJA: Setiap kali Ramadan dan menjelang hari raya, umat Islam di Malaysia tidak pernah melupakan saudara seagama di tempat lain termasuklah di Kampung Parahdau, sempadan negara ini dan Vietnam.

Semalam, Pengerusi NGO Antarabangsa, Datuk Dr. Mustapha Ahmad Marican menyampaikan bantuan kepada 120 fakir miskin terdiri daripada orang tua, mualaf, ibu tunggal dan anak-anak yatim di kampung berkenaan.

Katanya, rata-rata penduduk kampung yang kedudukannya agak terpencil itu bergantung kepada rezeki mengambil upah mengangkat barang dari lori di sempadan dengan pendapatan yang tidak menentu.

“Ini kali pertama saya datang ke kampung ini bagi menyampaikan sumbangan dermawan dari Malaysia. Kita berdoa agar ramai lagi rakyat negara kita yang bermurah hati untuk menderma dan membantu saudara seagama kita di sini,” katanya kepada Utusan Malaysia, hari ini.

Kampung Parahdau mempunyai 300 rumah yang kebanyakan diperbuat daripada kayu atau zink. Tanahnya kurang sesuai untuk bercucuk tanam kerana ia jenis berbatu selain cuaca yang agak panas di situ.

Sementara itu, jurucakap penduduk, Ramly Yusof mengalu-alukan sumbangan yang disampaikan kepada penduduk kampung tersebut.

Beliau juga berterima kasih kerana Mustapha sanggup datang dari jauh ke kampung yang terpencil itu dalam suhu panas mencecah 45 darjah Celcius.

“Kita berharap beliau dapat membantu anak-anak yatim dan dapat menambah baik kemudahan masjid kampung seperti kemudahan perigi untuk berwuduk dan menyediakan kipas angin,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN