NEW YORK: Gempa bumi berukuran 4.8 skala Richter melanda New York City, Amerika Syarikat (AS) sehingga menggegarkan bangunan di pantai timur negara itu, semalam.
Pusat gempa dikesan berada di Tewksbury, di tengah New Jersey, kira-kira 64 kilometer (km) ke barat kota metropolitan itu, dan turut dirasakan di Pennsylvania hingga Connecticut.
Kajian Geologi AS (USGS) melaporkan gempa berlaku pada pukul 10.23 pagi (waktu tempatan) pada kedalaman 4.7 KM dan sekurang-kurangnya enam gempa susulan dilaporkan oleh penduduk, termasuk satu gempa dengan 4.0 skala Richter sekitar pukul 6.00 petang, semalam.
Gegaran itu juga menggemparkan penduduk kerana gempa bumi jarang melanda kawasan yang tidak merekodkan aktiviti seismik begitu ketara.
Penduduk tempatan memberitahu mereka merasakan gegaran seperti bunyi dentuman kuat di sekeliling rumah.
Gabenor New York, Kathy Hochul memaklumkan tiada kerosakan besar berlaku, namun, pasukan kejuruteraan giat memeriksa keadaan jalan dan jambatan. -BBC