PETALING JAYA: Nasib enam pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masih kabur walaupun Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) sudah meluluskan usul pindaan perlembagaan parti tersebut yang dibuat pada Perhimpunan Agung Khas (EGM), 2 Mac lalu.
Ketua Kluster Politik, Governans dan Perundangan, Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, situasi ketika ini mewujudkan persoalan undang-undang mengenai nasib enam ahli Parlimen itu.
Kata beliau, Bersatu dipercayai akan membawa usul kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul bagi meminta enam kerusi pemimpin mereka yang didapati mengkhianati parti dikosongkan dan memberi laluan kepada pilihan raya kecil (PRK).
“Perkara 49A mengatakan bahawa seorang ahli Parlimen yang melompat parti maka dia hilang kerusi tetapi jika dia dipecat maka tidak akan kehilangan kerusi.
“Apa yang Bersatu mahu tafsirannya iaitu mengikut perlembagaan mereka adalah enam ahli Parlimen itu gugur keahlian bukan dipecat, jadi ini membolehkan kerusi diwakili mereka dapat dikosongkan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Untuk rekod, pindaan tersebut dilakukan selepas enam ahli Parlimen Bersatu bertindak mengisytiharkan sokongan mereka kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ahli Parlimen terbabit ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr. Suhaili Abdul Rahman (Labuan).
Pindaan berkenaan membabitkan tiga perkara bawah Fasal 10 Perlembagaan Bersatu berkaitan hal-hal pemberhentian dan pemecatan ahli parti, iaitu dengan memasukkan tambahan Fasal 10.4, 10.5 dan 10.6.
Mengulas lanjut, Nik Ahmad Kamal berkata, enam ahli Parlimen tersebut tidak mempunyai kelebihan sekiranya ingin membawa kes ke mahkamah apabila Yang Dipertua Dewan Rakyat mengisytiharkan pengosongan kerusi.
“Berdasarkan kes-kes terdahulu mengenai status kerusi, mahkamah tinggi mengatakan mereka tidak mempunyai bidang kuasa untuk memutuskan apa yang sudah dipersetujui dari segi keputusan Parlimen oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat.
“Ini menyebabkan mahkamah menolak untuk mencampur tangan,” katanya. – UTUSAN