Mufti Perlis puji penjelasan MB isu tuntutan palsu anak dan pegawainya - Utusan Malaysia

Mufti Perlis puji penjelasan MB isu tuntutan palsu anak dan pegawainya

ASRI ZAINUL ABIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Tindakan Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli yang memberi penjelasan berhubung isu tuntutan palsu anaknya sewaktu sesi penggulungan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini mendapat perhatian ramai pihak.

Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin merupakan antara pihak yang memuji tindakan Mohd. Shukri tersebut selepas beliau memberi penjelasan berhubung isu membabitkan anak dan pegawainya.

Menurut Asri, beliau memahami Mohd. Shukri kini bukannya berdepan laluan mudah namun secara peribadi pihaknya percaya Pesuruhjaya Pas negeri itu seorang yang telus dalam hal berkaitan harta awam.

“Saya tidak kenal anak beliau atau pegawai- pegawai beliau yang dituduh tersebut, tapi sekadar saya kenal beliau sebagai MB Perlis, saya percaya ALLAH SWT lebih mengetahui hakikat sebenar dan beliau secara peribadi seorang yang telus dalam soal harta awam.

“Itu sekadar pemerhatian saya. Apapun, ALLAH SWT Maha Mengetahui segalanya.

“Kita mengharapkan semua urusan berjalan dengan cara yang adil untuk semua pihak,” katanya menerusi kemaskini di laman Fecabook, sebentar tadi.

Menerusi penjelasan sewaktu penggulungan Sidang DUN hari ini, Mohd. Shukri membuka pintu seluas-luasnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melakukan siasatan berhubung sebarang salah laku di negeri ini.

Malah tegas, Mohd. Shukri, jika anaknya sekali pun didapati bersalah, hukumlah dia kerana beliau sudah memberi ilmu dan pendidikan yang secukupnya selain sentiasa menitipkan pesanan.

Sebelum itu, media melaporkan mengenai penahanan reman anak kepada Menteri Besar Perlis bersama seorang pegawai kanan kerajaan dan empat individu lain bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut.

Keenam-enam suspek terlibat berusia 26-37 tahun itu ditahan antara pukul 7 hingga 8 pagi sekitar Perlis bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Siasatan berkenaan dilakukan atas kesalahan pemalsuan dokumen dalam membuat tuntutan palsu sedangkan kerja-kerja berkenaan tidak dilaksanakan dengan anggaran jumlah keseluruhan projek bernilai RM600,000 bermula dari tahun 2022 sehingga kini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN