KUALA LUMPUR: Pembelian padi yang tiada had menyebabkan hanya 11 kilang padi Melayu masih bertahan daripada 220 kilang padi berdaftar di bawah Lembaga Padi Dan Beras Negara (LPN).
Kebanyakan pengilang padi Melayu ‘lingkup’ kerana mereka tidak mampu bersaing dengan pengilang besar yang mampu membeli padi dengan harga lebih mahal dan dalam jumlah banyak sehingga 120,000 tan metrik sekali gus.
Keadaan itu seterusnya menyebabkan pengilang yang memonopoli pembelian padi menjadi penentu sama ada mahu mengeluarkan stok beras atau disimpan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Persatuan Pengilang Beras Melayu Malaysia, Musonnef Md. Radzi berkata, kilang-kilang besar yang dikuasai individu bermodal besar membuat pembelian padi dalam kapasiti besar dengan harga mencecah RM2,250 bagi setiap tan metrik padi.
Katanya, keadaan itu menyebabkan kilang-kilang Melayu ‘mati’ dan tidak mampu bertahan dengan harga belian padi yang tinggi manakala kapasiti padi boleh dibeli setiap kilang tanpa had.
“Polisi dari segi kementerian yang tidak harmoni menyebabkan keadaan sekarang ni terjadi iaitu tiada kawalan, tidak mengehadkan belian padi dan berlaku monopoli oleh kartel-kartel. Sekarang ini kilang kecil Melayu tidak ada nilai kerana kawalan di pihak kementerian dari segi kawalan monopoli padi kilang beras.
“Sebab itu, hanya 11 kilang Melayu yang boleh bertahan, ramai yang terlepas pandang tetapi ini adalah isu besar sebenarnya yang dialami oleh kita di peringkat bawah,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Pada Oktober tahun lalu, kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peningkatan harga lantai belian padi kepada RM1,300 satu tan metrik berbanding RM1,200 sejak 2014.
Perdana Menteri membuat keputusan itu bagi membantu menambah pendapatan pesawah selain mengambil kira rungutan pesawah apabila harga belian oleh pengilang diturunkan kepada tahap minimum RM1,200 satu tan metrik sejak 2014.
Mengulas lanjut, Musonnef berkata, sikap kementerian yang didakwa double standard menyebabkan masalah tersebut tidak diselesaikan sehingga hari ini, sekali gus menjadi bebanan kepada rakyat secara keseluruhan.
“Tidak ada dasar yang ditetapkan kerajaan, kilang padi boleh beli banyak mana pun, kilang Melayu memang tidak mampu dari segi kewangan dan kartel-kartel yang monopoli sehingga sekarang ini.
Mereka mengaut keuntungan dengan beli harga tinggi dan jual beras pada harga yang melampau, sebab itu kita kilang Melayu ramai yang mati.
“Bayangkan, sekarang ini ada satu kilang besar beli sampai 120,000 tan metrik, macam mana kilang kecil nak lawan kalau kilang kecil hanya boleh beli 10,000 tan metrik padi?
“Kalau dalam isu benih padi boleh pula kerajaan buat kawalan hanya 12 syarikat yang boleh beli? Itulah double standard,” katanya. – UTUSAN